RM1.7 bilion bangunkan infrastruktur pembetungan seluruh negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion dalam Rolling Plan 3 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membangunkan infrastruktur mampan menerusi pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ia sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pembetungan dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap serta berkualiti kepada rakyat.

Beliau berkata, setakat ini, Malaysia mencapai 85.4 peratus perkhidmatan pembetungan di bandar utama dan menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK12 pada 2025.

“Pemodenan sektor pembetungan negara membabitkan proses menaik taraf loji rawatan kumbahan yang tidak berkesan dan tidak menjimatkan kos serta menutup loji rawatan bersaiz kecil kerana penduduk dan aktiviti ekonomi yang berkembang.

“Inisiatif itu juga penting untuk memastikan efluen dilepaskan mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat, terutama berkenaan pencemaran sumber air,” katanya dalam ucapan perasmian Trenchless Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah.

Nik Nazmi berkata, kementeriannya mengambil konsep penyerantauan dalam pembangunan infrastruktur pembetungan di kawasan bandar berkepadatan tinggi yang menggalakkan pembinaan loji rawatan kumbahan dengan skala sesuai bagi memenuhi keperluan komuniti lebih besar.

Sementara itu, beliau berkata, potensi sektor pembetungan di Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tiga produk sampingan loji rawatan kumbahan sebagai contoh biopepejal, bioefluen dan biogas, semuanya mempunyai potensi ekonomi untuk dikomersialkan.

“Sebagai contoh bioefluen, kerajaan sudah meletakkan agenda khusus untuk menggunakan efluen terawat untuk tujuan tertentu.

“Menerusi inisiatif ini, kerajaan menyasarkan untuk menghasilkan 1,500 JLH (juta liter sehari) air tebus guna menjelang 2030, kebanyakannya digunakan untuk kegunaan tidak boleh diminum dan sebagai sumber air alternatif untuk industri tertentu,” katanya.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427