SEREMBAN: Kerajaan negeri menyediakan 500 unit komputer riba bernilai RM1.2 juta untuk diagihkan kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan mahasiswa universiti awam serta politeknik dalam kalangan kumpulan B40, tahun ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata setakat ini, seramai 200 pelajar STPM sudah menerima bantuan berkenaan dan selebihnya, akan diberikan kepada mahasiswa yang layak.
Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada seramai 2,000 orang mahasiswa B40, membabitkan perbelanjaan berjumlah RM2.4 juta.
“Bantuan ini bertujuan meringankan beban segelintir pelajar yang amat memerlukan komputer riba bagi melancarkan proses pembelajaran mereka, manakala BSH membantu penuntut yang kekurangan wang sara hidup di kampus.
“Semua bentuk bantuan ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap usaha memastikan kecemerlangan anak-anak dapat diteruskan tanpa halangan akibat kekangan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik dan Pengarah YNS, Muhamad Nazri Kassim.
Seramai 97 siswazah cemerlang menerima wang tunai RM5,000 setiap seorang, manakala 20 daripadanya menerima hapus kira pinjaman, membabitkan nilai sebanyak RM334,800.
Mengulas mengenai kes membabitkan bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Manjung, Perak, beliau berkata, perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku.
“Menjadi tanggungjawab pemimpin masyarakat memberikan perhatian terhadap kepentingan jiran dan anggota terdekat, dengan melaporkan segala permasalahan atau keperluan mereka kepada pihak yang berwajib supaya kes seperti ini dapat dibantu,” katanya.
-BH