Ringgit tidak akan terus susut dengan ketara: Bank Dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Bank Dunia menjangka nilai ringgit tidak akan terus mencatat penurunan ketara berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh seterusnya, disokong harga komoditi serta lebihan akaun semasa negara yang kukuh.

Ketua Ahli Ekonomi, Makroekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, berkata kelemahan mata wang tempatan ketika ini adalah disebabkan pengukuhan dolar AS susulan tindakan pelabur yang beralih kepada mata wang itu yang dianggap selamat dalam tempoh tidak menentu ini memandangkan ia memiliki keistimewaan sebagai rizab mata wang dunia.

Sementara itu, katanya, kelemahan ringgit berbanding mata wang utama dunia pada masa ini perlu dilihat dari aspek positif iaitu membantu melonjakkan nilai eksport negara.

“Kelemahan ringgit bukan sekadar disebabkan pertukaran selera pelabur kepada dolar AS, malah kita perlu melihat dari aspek dasar monetari China yang kuantitatif yang turut melemahkan yuan seterusnya memberi kesan kepada penurunan ringgit.

“Sebagai negara berorientasikan eksport, Malaysia pada sisi lain menerima manfaat daripada kelemahan ringgit. Ia (kelemahan ringgit) membantu meningkatkan eksport negara.

“Namun, harga komoditi kukuh dan lebihan akaun semasa yang baik telah memberi sokongan kepada ringgit, namun begitu ia diimbangi pula dengan kebergantungan import Malaysia,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Laporan Bank Dunia, ‘Catching Up: Inclusive Recovery & Growth for Lagging States’ hari ini.

Yang turut serta, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.

Mengulas lanjut, Apurva berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) pastinya mempunyai pendirian berhubung pergerakan ringgit dalam menstabilkan pergerakan mata wang itu.

“Kami yakin BNM dapat menguruskan isu kestabilan dan ketidaktentuan ringgit dengan memilih langkah yang bersesuaian. Itu yang kami harapkan dan akan dapat dilihat dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, ringgit meneruskan trend penurunanya apabila dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini, menyaksikan mata wang negara maju itu terus mengukuh berikutan sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat dua hari Rizab Persekutuan.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.4090/4130 berbanding dolar AS daripada 4.4000/4030 pada penutup urus niaga Jumaat.

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ringgit dijangka kekal lemah kerana ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) berkemungkinan mengekalkan kecenderungannya untuk menaikkan kadar faedah apabila bermesyuarat pada 14 dan 15 Jun nanti.

“Mesyuarat FOMC minggu ini juga penting kerana kakitangan Fed akan berkongsi unjuran suku tahunan terkini mereka.

“Justeru, ini akan menjadikan ringgit lemah minggu ini bersama-sama dengan mata wang serantau lain berikutan pengukuhan dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, jangkaan itu didorong terutamanya oleh data terkini indeks harga pengguna (CPI) AS pada Mei yang meningkat sebanyak 8.6 peratus dan melepasi anggaran konsensus sebanyak 8.3 peratus.

Kenaikan 50 mata asas dalam Kadar Rizab Persekutuan (Fed) telah pun ditetapkan dan ia mungkin berterusan dalam mesyuarat Julai, sekali gus menyaksikan satu lagi pusingan kenaikan kadar pada mesyuarat September, katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427