KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) lewat hari ini.
Pada 9.37 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4545/4565 berbanding dolar AS daripada 4.4510/4540 sewaktu ditutup pada Isnin.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pelabur bersedia untuk berdepan kenaikan kadar sebanyak 75 mata asas daripada Rizab Persekutuan AS yang terus memberi tekanan kepada ringgit daripada perspektif kadar faedah yang berbeza.
“Keadaan makro telah berubah berikutan pelabur mengelak daripada aset-aset berisiko akibat kebimbangan terhadap kemelesetan global,” katanya kepada Bernama.
FOMC akan mengadakan mesyuaratnya selama dua hari bermula lewat hari ini.
Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2167/2186 daripada 3.2019/2042 pada penutupan Isnin dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.3824/3848 daripada 5.3243/3273 semalam.
Ia juga berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2672/2689 daripada 3.2599/2622 dan susut berbanding euro kepada 4.5654/5675 daripada 4.5320/5346.
– Bernama -BH