HANOI: Ribuan rumah dan jalan raya di bandar Hue, Vietnam yang juga tapak warisan dunia yang popular ditenggelami banjir selepas hujan lebat melanda kawasan itu, hari ini.
Gambar dipaparkan media kerajaan menunjukkan penduduk meredah jalan yang dinaiki air dengan bot manakala sebahagian rumah dan kereta ditenggelami air.
Penduduk Hue, Vu An berkata, air naik dengan cepat sejak malam tadi.
“Bandar ini dinaiki air di mana-mana dan bekalan elektrik turut terputus,” katanya.
Hujan lebat melanda beberapa wilayah di sepanjang pantai sejak Isnin lalu.
Menurut pihak berkuasa, lebih 2,000 orang berpindah dari rumah mereka di tengah wilayah Quang Tri, yang mana tiga orang dilaporkan hilang, hari ini.
Sebahagian lebuh raya negara yang menghubungkan utara dan selatan Vietnam juga terputus akibat tanah runtuh dan banjir.
Vietnam sering dilanda cuaca buruk ketika musim hujan antara Jun dan November.
Paras air dikatakan kekal tinggi untuk dua hari sebelum beransur pulih hujung minggu ini.
Menurut angka rasmi, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh menyebabkan 136 orang terkorban dan hilang di Vietnam tahun ini.
Saintis memberi amaran cuaca ekstrem di seluruh dunia menjadi lebih teruk dan kerap berlaku disebabkan perubahan iklim.
– AFP
-BeritaHarian