PARIS: Seorang gadis Iran berusia 16 tahun koma dan sedang dirawat di hospital yang diletakkan di bawah kawalan keselamatan ketat selepas diserang dalam kereta api bawah tanah Tehran.
Kumpulan hak asasi manusia Kurdish, Hengaw, semalam menyalahkan polis moral republik Islam itu bertindak keterlaluan terhadap remaja berkenaan.
Katanya, remaja itu yang dikenali sebagai Armita Garawand, cedera parah dalam konfrontasi dengan pegawai polis wanita dalam tren metro di Tehran.
Perkara itu dinafikan oleh pihak berkuasa Iran, yang mendakwa gadis itu ‘pengsan’ kerana tekanan darah rendah dan tidak membabitkan tindakan pasukan keselamatan.
Kes berkenaan kini viral di media sosial susulan ada video menunjukkan remaja berkenaan bersama rakannya yang tidak bertudung, ditolak oleh polis wanita dan kemudian sekujur tubuh yang tidak bergerak dibawa keluar.
Pengarah Urusan sistem pengangkutan bawah tanah Tehran, Masood Dorosti, menafikan berlaku ‘sebarang konflik fizikal atau perang mulut’ antara pelajar berkenaan dan penumpang dalam tren Metro.
“Ada khabar angin mengenai konfrantasi dengan ejen Metro tetapi ini tidak benar… lipitan kamera litar tertutup (CCTV) boleh buktikan,” katanya kepada agensi berita kerajaan, IRNA.
Sebaliknya, portal berita IranWire, yang berpangkalan di luar Iran, memetik sumber mengatakan Garawand mengalami ‘kecederaan di kepala’ selepas ditolak anggota polis.
Pihak berkuasa Iran berada dalam keadaan berjaga-jaga terhadap sebarang peningkatan ketegangan sosial selepas kematian Mahsa Amini, yang maut dalam tahanan selepas ditangkap kerana didakwa melanggar peraturan pakaian yang ketat untuk wanita.
Kematiannya mencetuskan protes selama beberapa bulan menggemparkan kepimpinan ulama Iran, yang menyaksikan ribuan ditangkap dan ratusan terbunuh.
Hengaw berkata Garawand mengalami kecederaan parah selepas ditahan dan diserang secara fizikal oleh ejen polis di stesen metro Shohada di Tehran, Ahad lalu.
Pertubuhan itu kemudian menyiarkan gambar menunjukkan Garawand terbaring di katil hospital dalam keadaan masih tidak sedarkan diri, dengan tengkuk dan kepalanya berbalut serta tiub dipasang bagi memberinya makanan.
Katanya, Garawand dirawat di bawah kawalan keselamatan yang ketat di hospital Fajr Tehran dan pada masa ini tiada pelawat dibenarkan untuk mangsa, termasuk daripada kalangan ahli keluarganya.
Ibu bapanya di temu bual media negara Iran di hospital, namun ‘dengan kehadiran pegawai keselamatan berpangkat tinggi’ dan ‘di bawah tekanan yang besar’, kata Hengaw.
Menurut Hengaw, Garawand berasal dari bandar Kermanshah di wilayah diduduki majoriti puak Kurdish di barat Iran, tetapi kini menetap di tehran.
Seorang wartawan dari akhbar harian Shargh, Maryam Lotfi, cuba untuk melawat hospital di mana mangsa berada, namun ditahan tetapi kemudiannya dibebaskan.
Pusat Hak Asasi Manusia di Iran (CHRI) yang berpangkalan di New York berkata wanita dan gadis ‘menghadapi peningkatan keganasan, penangkapan sewenang-wenangnya dan peningkatan penindasan selepas Republik Islam itu mengaktifkan semula rondaan polis.
– AFP
– BeritaHarian