PASIR MAS, 31 Mac — Seorang bapa sanggup membawa anak lelakinya yang juga remaja Orang Kurang Upaya (OKU) ke tempat penagihan dadah, bagi melepaskan gian.
Lebih menyedihkan, tindakan lelaki berusia 55 tahun itu menyebabkan anaknya seorang OKU lembam yang berusia 17 tahun, akhirnya turut terjebak dengan aktiviti penagihan dadah itu.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Rohayu Ahmad berkata, kes terbabit berlaku di Kota Bharu dikesan selepas pihaknya menahan lelaki tersebut bersama anaknya dalam Op Perdana, yang diadakan bermula 14 sehingga 28 Mac.
“Pada peringkat awal lelaki itu membawa anaknya ke tempat penagihan, bagi mengaburi mata masyarakat kegiatan penagihannya.
“Akhirnya anaknya itu turut terjebak dengan penagihan, apabila sering melihat ayahnya menagih. Kami mendapati anaknya itu terlibat dengan kegiatan penagihan sejak berumur 15 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Op Perdana di Pejabat AADK Pasir Mas, di sini, hari ini.
Rohayu berkata dua beranak itu yang menagih dadah jenis pil kuda kini ditahan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Rohayu berkata sepanjang Op Perdana yang dilakukan seramai 149 orang penagih telah ditahan seluruh negeri.
“Rata-rata yang ditahan menagih dadah jenis pil kuda dan heroin. Daerah yang paling tinggi mencatatkan jumlah penagih yang ditahan ialah Kuala Krai, Machang dan Kota Bharu,” katanya sambil menambah operasi tersebut dilakukan sebulan sekali. -BERNAMA