Parit Buntar: Remaja perempuan maut dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan Pantai Kuala Kurau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian 1.10 pagi itu, mangsa, Leng Li Zhee, 13, yang melecur keseluruhan badan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar.
Katanya, seorang lagi wanita patah kaki kiri selepas terjun dari tingkat atas rumah untuk menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian terdapat lapan orang ahli keluarga termasuk bayi berusia 18 bulan (perempuan) dan dua bulan (perempuan) di tingkat atas.
“Berdasarkan maklumat saksi, kebakaran dipercayai berlaku dari bahagian bawah rumah lalu merebak ke tingkat atas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, seorang daripada mangsa memaklumkan terdengar bunyi letupan beberapa kali dan sebaik menyedari terdapat asap banyak, menjerit memaklumkan ahli keluarga lain.
Mereka terpaksa keluar melalui tingkap dari tingkat atas, dibantu orang awam dan pihak bomba.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan 12.56 tengah malam tadi dan mengambil lebih tiga jam mengawal kebakaran sebelum operasi ditamatkan pada 4.05 pagi.
Mangsa maut ditempatkan di Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera kini ditempatkan di wad hospital sama untuk rawatan lanjut.
-BH