Rayuan calon BN Segamat batalkan kemenangan calon PH tangguh 1 Ogos

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Rayuan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Segamat, Tan Sri M Ramasamy, terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyennya sekali gus mengekalkan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH),

R Yuneswaran, yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan ke Selasa depan.

Ramasamy memfailkan notis rayuan pada 14 April lalu, dengan menamakan Yuneswaran, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Segamat selaku responden.

Keputusan penangguhan itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Datuk Zabariah Mohd Yusof yang bersidang bersama Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Ia susulan peguam bela utama Ramasamy, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tidak dapat menghadiri prosiding kerana cuti sakit akibat migrain.

Terdahulu, seorang lagi peguam bela calon BN Parlimen Segamat itu, Sarah Maalini Abishegam, mengesahkan Muhammad Shafee ada sijil cuti sakit (MC) selepas mengalami serangan vertigo.

“Pada pagi ini, kami terima panggilan daripada Shafee yang memaklumkan beliau tak sihat dan dinasihatkan untuk tidak berjalan bagi mengelakkan terjatuh.

“Shafee baru pulang dari luar negara minggu ini dan menghadiri prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Rabu lalu, yang mana beliau kurang sihat menyebabkan prosiding itu bermula lewat.

“Keadaan Shafee pada malam tadi menjadi lebih teruk pada pagi ini. Dengan rendah diri mohon prosiding ditangguhkan ke tarikh dalam masa terdekat ini,” katanya.

Susulan itu, Peguam Kanan Persekutuan mewakili SPR dan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya, Suzana Atan serta peguam bela Yuneswaran, Lau Yi Leong, masing-masing tidak membantah penangguhan itu.

Pada 3 April lalu, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Muar Radzi Abdul Hamid, menolak petisyen pilihan raya yang difailkan Ramasamy selepas mendapati petisyen yang difailkan pada Januari lalu, adalah cacat dan tidak menepati keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Mahkamah sehubungan itu mengekalkan kemenangan Yuneswaran, selain mengarahkan Ramasamy membayar kos sebanyak RM30,000.

Berdasarkan petisyen pilihan rayanya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan ejennya melanggar peraturan pilihan raya membabitkan bahan kempen dan mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi ketika berkempen.

Yuneswaran menang kerusi Parlimen Segamat pada Pilihan Raya ke-15 (PRU15) tahun lalu dengan majoriti 5,669 undi mengalahkan Ramasamy, calon Perikatan Nasional, P Poobalan dan calon Pejuang, Syed Hairoul Faizey.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427