Rayer, DAP lapor polis dakwaan Sanusi status P Pinang

Estimate Reading Time: 2 minutes

GEORGETOWN: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer hari ini membuat laporan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan terbarunya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah.

Laporan yang dikemukakannya di balai polis Jalan Patani, di sini kira-kira jam 8.30 pagi, dibuat atas kerelaan dirinya sebagai warga Pulau Pinang serta bagi mewakili DAP.

Ini laporan kedua Rayer terhadap Sanusi, dengan yang pertama pada Februari tahun ini selepas beliau mempersoalkan mengenai kedaulatan Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, Rayer menyifatkan kenyataan Sanusi mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai ‘melampau’.

Sanusi katanya, bukan saja mempersoalkan kedaulatan negeri dan Perlembagaan Persekutuan, tetapi juga kuasa diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Yang di-Pertua Negeri.

“Sebagai Menteri Besar, beliau harus bertanggungjawab dan mendapat pandangan pakar perundangan dan bukanlah menghentam secara semberono.

“Dengan membuat ucapan secara liar dan sesuka hati sehingga boleh menyebabkan keresahan kepada rakyat Pulau Pinang juga mengganggu gugat ketenteraman awam dan membabitkan perasaan marah rakyat Pulau Pinang.

“Saya membuat laporan ini, bukan saja untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat Pulau Pinang, tetapi lebih dari itu membela keabsahan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Bagaimana seorang Menteri Besar boleh bercakap sedemikian? Ia bukan sahaja tindakan tidak bertanggungjawab tetapi melampau. Saya menuntut beliau menarik balik kenyataan tersebut,” katanya.

Rayer turut menyifatkan tindakan Sanusi yang berulang kali mendakwa Kedah memiliki Pulau Pinang sebagai ‘hasutan’ yang boleh mencetuskan huru-hara dan rusuhan dalam kalangan rakyat, yang mungkin berang dengan kenyataannya.

“Saya menggesa polis mengambil tindakan segera kerana ini bukan kali pertama. Ini berulang kali.

“Sekarang, beliau minta Perlembagaan Persekutuan dipinda. Maksudnya, beliau sedar Pulau Pinang adalah salah satu negeri yang berdaulat di bawah Perlembagaan Persekutuan dan persekutuan Malaysia. Jadi, jelas sekali kenyataannya tidak berasas dan kurang cerdik. Kenyataan yang boleh membawa kepada gangguan ketenteraman awam dan menyebabkan huru hara,” katanya.

Isnin lalu, Sanusi mendakwa Pulau Pinang berada di bawah hak milik Kedah.

Pemimpin PAS Kedah itu juga berkata Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan Kedah.

Susulan dakwaannya itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menggesa Sanusi, jika serius mengenai dakwaannya itu, maka mereka sedia berjumpa di mahkamah.

“Ini menunjukkan dia sedar apa yang dia katakan adalah tidak benar, satu kesilapan dan tidak berperlembagaan. Jika ia bercanggah dengan perlembagaan, ia adalah ‘haram’.

“Kita semua tahu Pulau Pinang adalah negeri yang berdaulat. Kita ada Yang di-Pertua Negeri, seorang Ketua Menteri dan wakil rakyat. Kita ada sistem pentadbiran kerajaan yang diberi kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau lihat ‘jata negara’ ada papan tanda Pulau Pinang, kalau kita tengok Jalur Gemilang, salah satunya jalur dan bintang adalah mewakili Pulau Pinang.

“Kenapa sekarang dipertikaikan? Kenapa tidak selama ini? Ini tahun ketiga beliau menjadi Menteri Besar Kedah. Kenapa tidak dalam dua tahun pertama, di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau tidak menimbulkan sebarang pertikaian?

Sementara itu, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang turut sama Rayer hari ini turut menggesa 1.8 juta rakyat Pulau Pinang membuat laporan terhadap Sanusi.

Guan Eng berkata kenyataan Sanusi adalah berbahaya dan satu bentuk hasutan, yang beliau sendiri sedar dakwaannya itu bercanggah dengan perlembagaan selepas beliau sendiri menggesa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427