KUALA LUMPUR â Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang Ke-18 hari ini.
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di depan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abd Halim Abd Samad di Dewan Negara.
Terdahulu, keputusan melantik Rais dibuat melalui proses pengundian bersurat memandangkan terdapat lebih daripada satu nama dikemukakan.
Abdul Halim mengumumkan pemilihan Rais selepas calon dari kerajaan itu mendapat undi tertinggi mengatasi seorang lagi calon menerusi keputusan undi bersurat.
âYB senator Rais Yatim mendapat 45 undi dan YB Yusmadi mendapat 19 undi dan seorang tidak hadir. Dengan ini YB senator Rais Yatim dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu,â katanya.
Usul pencalonan Rais dibuat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.
Hanya Rais calon tunggal daripada pihak kerajaan.
Selain, Rais yang dicalonkan sebagai Speaker, wakil pembangkang turut menamakan dua calon mereka iaitu Yusmadi Yusoff dan Senator Theodore Douglas Lind.
Pencalonan Yusmadi dicalonkan oleh Ahmad Azam Hamzah dan Douglas pula dicalonkan oleh Datuk Marzuki Yahya.
Bagaimanapun pencalonan, Douglas ditarik balik apabila beliau menolak pencalonan tersebut.
Terdahulu, sebelum pemilihan dibuat, Dewan Negara kecoh seketika apabila, wakil Senator dari pembangkang membantah pencalonan Rais yang dibuat oleh Perdana Menteri.
Abd Halim bagaimanapun memaklumkan, pencalonan itu tidak bertentangan peraturan Dewan Negara, memandangkan Perdana Menteri merupakan pengerusi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Rais dipilih sebagai speaker Dewan Negara menggantikan SA Vigneswaran yang tamat perkhidmatan pada 22 Jun lalu.
-Sinar Harian