KUALA LUMPUR, 15 DEC 2022 (The Capital Post): Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata beliau akan memberikan tumpuan untuk mengkaji, mengemaskini serta menambah baik projek sedia ada untuk membasmi kemiskinan tegar di seluruh negara.
Katanya, tindakan itu dilakukan supaya dapat memberi kesan langsung kepada rakyat di negara ini.
“Selain itu, saya juga memberi tumpuan kepada memahami persediaan dan keupayaan negara ini dari segi data bagi mengimbangi keperluan untuk memberi subsidi bersasar mengikut kemampuan kewangan kita,” katanya di Twitter, hari ini.
Rafizi juga memaklumkan, tugas Kementerian Ekonomi adalah mengambil kira pandangan dan perancangan ekonomi untuk jangka masa yang panjang.
“Kami bertanggungjawab untuk memastikan projek jangka panjang atau perbelanjaan pembangunan selaras dengan perancangan ekonomi dan menggerakkannya ke arah yang dikehendaki untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang diperlukan,” katanya.
Rafizi juga memaklumkan bahawa semalam adalah hari ke-10 beliau berkhidmat sebagai Menteri Ekonomi.
Katanya, bagi tempoh 10 hari pertama itu, beliau memberi tumpuan untuk memahami projek dan perancangan jangka panjang membabitkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Beliau turut berjanji akan memberi perkembangan dan perancangan terkini kementeriannya, secara mingguan.
-BH
(The Capital Post)