Pulau Rempang tak jadi dikosongkan Khamis ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

BATAM: Pulau Rempang di Kepulauan Riau tidak jadi dikosongkan Khamis ini bagi memberi laluan kepada projek mega Eco City membabitkan kerjasama Indonesia dan China

Kerajaan sebelum ini meminta penduduk di pulau itu berpindah dan menetapkan 28 September atau Khamis ini sebagai tarikh akhir bagi mengosongkan kediaman masing-masing.

Ketua Badan Perusahaan (BP) Batam, M Rudi, berkata ketika ini pasukan data BP Batam masih fokus untuk menyediakan semua kemudahan dan memenuhi hak penduduk Rempang yang bakal dipindahkan.

“Saya tegaskan, 28 September 2023 bukan tarikh untuk penduduk berpindah. Boleh dikatakan, Rempang tidak akan dikosongkan dalam masa terdekat ini.

“Kami berharap proses pertikaian dengan penduduk diselesaikan dengan baik dan lebih cepat. Namun, tidak ada paksaan atau campur tangan,” katanya yang dilaporkan Kompas.com. semalam.

Rudi berkata pihaknya akan mengutamakan pendekatan lebih bersifat kemanusiaan dan komunikasi memujuk sepanjang proses berlangsung.

Beliau berkata sehingga Sabtu lalu, lebih 200 ketua keluarga bersetuju untuk berpindah ke lokasi baharu ditetapkan kerajaan, manakala lebih 400 ketua keluarga membantah untuk berpindah.

Media sebelum ini melaporkan, Indonesia mengerah ratusan polis pencegah rusuhan ke sebuah pulau kecil selepas protes tercetus terhadap projek yang disokong China yang menyebabkan ribuan penduduk berpindah.

Pada 11 September lalu, kira-kira 1,000 orang membantah di Kota Batam susulan rancangan untuk membangunkan pulau Rempang menjadi zon ekonomi yang dibiayai oleh China, termasuk pembinaan kilang kaca bernilai berbilion dolar, yang akan menyebabkan kira-kira 7,500 orang berpindah.

Menurut pihak polis, beberapa penunjuk perasaan menyerang pasukan keselamatan menggunakan parang, bom molotov dan batu serta puluhan perusuh terbabit turut ditangkap.

China membiayai projek infrastruktur dan sumber ekonomi terbesar Asia Tenggara dan pelaburannya sebelum ini juga menyebabkan kekacauan termasuk insiden rusuhan maut di Pulau Sulawesi Januari lalu.

Polis di wilayah Kepulauan Riau mendakwa seramai 200 pegawai dari unit polis rusuhan briged bergerak dikenali sebagai Brimob dihantar ke tempat kejadian.

Indonesia memperoleh janji pelaburan bernilai AS$11.5 bilion daripada Xinyi Glass Holdings iaitu sebuah syarikat pengeluar kaca terbesar dunia, untuk membina kilang dalam lawatan Presiden Joko Widodo ke bandar Chengdu di China pada Julai.
-AGENSI
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427