SUNGAI BULOH, 17 Nov 2022 (The Capital Post): Masyarakat tidak perlu takut untuk keluar mengundi Sabtu ini kerana situasi COVID-19 di negara ini masih terkawal.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya turut mendapat pandangan pakar mengenai keadaan jangkitan COVID-19 yang terkini.
“Dua minggu lalu saya keluarkan nasihat berkaitan dengan gelombang COVID-19 baharu yang melanda negara, syukurlah dengan sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kita lihat pada minggu lalu kes baharu menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.
“Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit COVID-19 di hospital, tiada peningkatan dilaporkan dan jumlahnya kini dilihat mula turun.
“Dengan itu saya yakin bahawa situasi COVID-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal, jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini. Kerana akan adanya ceramah, kempen serta hari pengundian yang sudah tentu akan berlakunya kesesakan.
“Selamat untuk keluar mengundi, saya dah minta pandangan pakar dan mereka menyatakan gelombang kini terkawal,” katanya.
-BH
(The Capital Post)