KUALA LUMPUR, 25 Okt 2022 (The Capital Post): Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan turut menjalani saringan status mereka dengan pejabat agama.
Semakan dengan pejabat agama adalah sebagai tambahan kepada saringan yang ditetapkan sebelum ini dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi Malaysia.
Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu kali pertama diperkenalkan dalam PRU kali ini kerana parti tidak mahu sebarang isu berbangkit membabitkan calon berkaitan dengan pejabat agama.
“Kalau dulu kita tidak ‘check’ perkara ini, …kali ini kita akan periksa,” katanya dalam sidang media selepas Taklimat Khas PRU15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, hari ini.
Beliau mengulas mengenai tahap saringan untuk calon BN bagi PRU15.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tiada keperluan untuk tiga calon Perdana Menteri mewakili tiga gabungan utama parti untuk berdebat kerana ia tidak mendatangkan apa-apa hasil.
Beliau menegaskan debat sebelum pilihan raya juga bukan budaya Malaysia dan tidak pernah dibuat sedemikian.
“Bukan budaya kita debat ini, tidak pernah dibuat dan dan tidak mendatangkan hasil,” katanya.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diadakan debat terbuka tiga calon Perdana Menteri mewakili PH, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menjelang PRU15.
Anwar dalam Program Jelajah PH Pahang di Mentakab mencadangkan perkara itu supaya perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.
Ismail Sabri berkata, jika debat terbuka itu dibenarkan akan dijadikan tempat untuk calon menabur janji dan manifesto.
“Bulan dan bintang pun dia akan sebut jadi tidak perlu dan selama ini kita bentuk kerajaan berdasarkan kepercayaan rakyat bukan satu jam debat itu.
“Saya tidak perlu berdebat sebelum pilihan raya dan kita sibuk di kawasan masing-masing,” katanya.
-BH
(The Capital Post)