Seperti ada sesuatu yang tidak kena apabila hasil prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19.
Turut mengejutkan apabila 8.5 juta dos vaksin anti COVID-19 bernilai RM505 juta dikesan luput tempoh hayat atau ‘basi’ sehingga 15 Jun lalu atas alasan kerana sambutan rendah rakyat terhadap vaksin berkenaan.
Justeru, apabila Jabatan Audit Negara akan membuat tindakan susulan dengan kementerian dan agensi berkaitan berhubung laporan PAC, ia memberikan sedikit kelegaan yang hasil prosiding itu akan diperiksa untuk mencari kesahihan maklumatnya.
Dalam isu ini, bukan hendak menuding jari kepada mana-mana pihak, namun pembelian ventilator terbabit dilakukan ketika negara berada dalam keadaan darurat iaitu COVID-19 ‘mengganas’.
Tujuan pengisytiharan darurat pada 11 Januari 2021 adalah untuk memastikan tindakan tangkas dan segera dilakukan bagi menangani penularan COVID-19, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.
Namun, mengikut Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, dalam tempoh penguatkuasaan darurat, seksyen mengenai peruntukan kewangan sementara membolehkan perbelanjaan tambahan dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan (Menteri Kewangan) atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri.
Terdapat juga pekeliling khas yang menggariskan panduan, hal berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan kerajaan dan juga proses terbabit berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat.
Dalam hal ini, Perlembagaan dan Akta Tatacara Kewangan 1957 tidak membenarkan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan mengurus, oleh itu kerajaan perlu memastikan perbelanjaan mengurus tidak melebihi hasil kerajaan.
Sebarang perbelanjaan tambahan yang dibuat perlu mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada bagi menentukan disiplin serta prosedur perlu dipatuhi kerajaan.
Justeru, Jabatan Audit Negara perlu memeriksa semula maklumat atau butiran ‘perbendaharaan’ dilakukan kerajaan ketika itu dan kementerian berkaitan untuk menentusahkan perbelanjaan dilakukan sepanjang tempoh darurat itu dan aset dibeli dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
Dalam hal ini, kerugian dan pembaziran dana awam sudah berlaku, tambahan pula vaksin tidak dapat digunakan lagi. Maka, Jabatan Audit Negara perlu teguh pendirian serta bebas pengaruh tertentu apabila melakukan audit serta mengemukakan syor, cadangan dan tindakan sewajarnya jika wujud ‘kecacatan’ urusan perolehan kesihatan ini.
Pembelian peralatan kesihatan terbabit sudah tentu membabitkan dana awam yang besar dan kegagalan ia berfungsi sudah tentu merugikan rakyat serta negara. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menyiasat kemungkinan wujud penyalahgunaan kuasa, penyelewengan atau rasuah dalam perolehan terbabit.
-BeritaHarian