KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek mega Transit Aliran Massa 3 (MRT3) bernilai RM45 bilion dan enam projek tebatan banjir yang dilaporkan bernilai keseluruhan RM13 bilion termasuk kerja tebatan banjir di Sungai Johor, pembinaan kolam takungan dwi-fungsi Sungai Klang-Sungai Rasau dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 3 akan dipercepatkan pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong, berkata seandainya keputusan PRN itu mesra dengan jangkaan pasaran, kerajaan juga dijangka mempercepatkan pengagihan perbelanjaan pembangunan kasar bernilai RM97 bilion yang diperuntukkan di bawah Belanjawan 2023.
“Kami difahamkan bahawa MRT Corp telah meminta persetujuan daripada pihak yang menawarkan pakej kerja MRT3 untuk melanjutkan tempoh sah tawaran mereka selama tiga bulan sehingga 30 September 2023 (daripada 30 Jun 2023).
“Ini menunjukkan bahawa MRT Corp sedang melaksanakan projek ini dengan aktif, walaupun ia perlu melaksanakan penyelidikan yang lebih mendalam terhadap reka bentuk, spesifikasi, penyesuaian, dan mekanisme pembiayaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Sementara itu, Kian Yeong berkata kerajaan bersetuju untuk membiayai cadangan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang sebagai timbal balas projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dikecilkan.
“Kami percaya perkembangan ini positif kepada sektor (pembinaan) memandangkan projek ini berpotensi bermula tidak lama lagi kerana ia tidak lagi dikekang oleh kesediaan keuntungan dan aliran tunai daripada PSI,” katanya.
Bagi projek sedia ada di Malaysia Timur seperti Pan Borneo dan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR), beliau berkata kerajaan sebelum ini sudah memberikan komitmen untuk mempercepatkan pelaksanaanya.
“IJM Corporation Bhd sudah menyatakan minat untuk menyalurkan sumbernya bagi meneroka kawasan itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pasaran pekerjaan sektor swasta dijangka terus berkembang apabila syarikat-syarikat multinasional (MNC) memindahkan tapak pengeluaran mereka dari China untuk mengimbangi risiko.
Katanya, peralihan ini mewujudkan peluang baharu dalam sektor pembinaan, terutamanya dengan pembangunan pusat-pusat data dan kilang-kilang semikonduktor.
“Projek ini datang dengan saiz kontrak lebih besar (dalam lingkungan antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion setiap satu) dan tempoh masa lebih singkat berbanding kontrak-kontrak konvensional, sekali gus membolehkan kontraktor mendapatkan premium,” katanya.
Kian Yeong berkata, beberapa faktor dijangka menyumbang kepada prospek perolehan lebih baik bagi syarikat-syarikat pembinaan.
“Pertama, kembalinya secara berperingkat pekerja asing akan meringankan beban kekurangan buruh. Selain itu, harga logam asas seperti keluli dan aluminium, bersama dengan bahan binaan utama lain seperti diesel dan bitumen disebabkan oleh harga minyak lebih rendah, secara positif akan mengurangkan kos,” katanya.
– BH