Projek infra rakyat bantu pacu ekonomi negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan projek infra rakyat seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) dapat dibangunkan sepenuhnya untuk membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada negara.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kerajaan sentiasa mendengar suara semua pihak dan berusaha mencapai keseimbangan antara kesihatan, masyarakat dan ekonomi, melalui pengumuman Belanjawan 2022 yang komprehensif serta inklusif.

Beliau berkata, ia selari dengan semangat Keluarga Malaysia demi membawa manfaat kepada negara dan rakyat.

“Saya berpendapat masyarakat juga harus bersedia hidup bersama COVID-19 pada masa depan kerana pandemik ini mengubah kehidupan harian kita, pelbagai ekosistem industri dan trend pembangunan.

“Jadi, kita akan meneruskan pemantauan terhadap pembangunan pasaran, melaksanakan dasar mesra pelabur asing dan membantu dalam pemulihan serta merangsang industri tempatan,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya.

Sementara itu, Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, beliau mengadakan perbincangan secara maya bersama kepimpinan baharu Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) membabitkan pelbagai perkara termasuk Belanjawan 2022, semalam.

Katanya, ACCCIM mencadangkan kepada kerajaan supaya tidak hanya fokus kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN), sebaliknya perlu juga menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk menangani pandemik COVID-19.

“Kerajaan juga digesa lebih telus dan menyediakan statistik yang berkenaan, menambah baik sistem kesihatan negara serta memperkukuh kemampuan negara untuk menghadapi pandemik,” katanya.

ACCCIM antara lain mencadangkan kerajaan memperkenalkan pelbagai subsidi atau bantuan dan pengurangan serta pengecualian cukai bagi meringankan beban rakyat dan perusahaan.

Turut serta dalam perbincangan itu adalah kepimpinan tertinggi ACCCIM termasuk Presidennya merangkap Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Datuk Low Kian Chuan dan Presiden Kehormat Seumur Hidup ACCCIM, Tan Sri William Cheng Heng Jem.– BERNAMA -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427