KUALA LUMPUR, 19 Feb — Perniagaan di Malaysia berharap kepada perjalanan perniagaan disambung semula dan pergerakan tenaga kerja ditingkatkan selepas pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, menurut Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siobhan Das berkata kaji selidik AMCHAM yang dijalankan pada awal bulan ini menunjukkan 42 peratus daripada responden memerlukan lebih ramai pekerja untuk kembali ke tempat kerja.
“Program vaksinasi yang dilaksanakan dengan baik akan turut memulihkan keyakinan dalam sektor tenaga kerja dan membolehkan mereka kembali ke pejabat, dengan prosedur operasi standard yang disemak semula untuk mencerminkan tahap ancaman telah berkurangan.
“Bagi memudahkan pemulihan ekonomi, AMCHAM menggesa kerajaan untuk memberikan lebih banyak penjelasan dalam pelan pelaksanaan vaksin untuk industri dan perniagaan,” katanya dalam temu bual melalui e-mel dengan Bernama.
Menurut Siobhan, program vaksinasi yang dilaksanakan dengan baik akan menjadi faktor penting untuk memulihkan keyakinan komuniti perniagaan, di dalam dan di luar negara.
“Logistik rantaian sejuk untuk Malaysia akan menjadi amat mencabar, berikutan kapasiti dan keupayaan rangkaian pengedaran untuk menembusi mereka yang kurang dalam capaian, di kawasan luar bandar dan bandar.
“Kami berharap kerajaan akan menambah baik sistem komunikasinya dan lebih telus, dengan proses yang terlibat dan perkongsian data, termasuk jumlah dos yang diterima dan diberikan dalam pelbagai sektor penduduk,” katanya.
Malaysia dijadualkan akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech BNT1262b pertamanya pada 21 Feb, dan Program Vaksinasi Kebangsaan akan bermula pada 26 Feb.
— BERNAMA