PRN: ‘Sekurang-kurangnya ada 10 tangan buat keputusan tentukan calon DAP bertanding’

Estimate Reading Time: 2 minutes

BUTTERWORTH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Chow Kon Yeow secara berseloroh memaklumkan sekurang-kurangnya perlu ada ’10 tangan’ dalam Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP yang menentukan senarai nama mewakili parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Batu Kawan itu sekali lagi menyeru ahli akar umbi untuk menerima keputusan sebulat suara yang dibuat kepemimpinan tertinggi parti supaya gerak kerja berdepan pilihan raya tidak terjejas.

Katanya, beliau sedar dalam setiap pilihan raya akan ada pihak yang tidak berpuas hati selepas pengumuman calon dibuat sehingga bertindak meninggalkan parti dengan menjadi calon bebas dan ia bukan perkara baharu.

“Keputusan memilih calon sudah dibuat oleh jawatankuasa di peringkat Pusat dan ia sudah menjadi satu hakikat (yang perlu diterima) kerana senarainya sudah dimuktamadkan.

“Dalam jawatankuasa (pemilihan calon), sekurang-kurangnya perlu ada 10 tangan, sebab ia terdiri daripada lima ahli (kepemimpinan tertinggi) yang mereka sudah membuat keputusan sebulat suara.

“Oleh itu, di negeri ini (Pulau Pinang) menerima keputusan itu dan menyeru penyokong (ahli) untuk terus beri sokongan kepada parti dengan mesej utama yang dibawa kepada pengundi adalah berdasarkan prestasi kerajaan negeri selama 15 tahun, khususnya dalam tempoh lima tahun saya menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung dakwaan ada tangan tersembunyi, merujuk kepada ‘seseorang’ yang berkuasa menentukan calon DAP bertanding pada PRN negeri itu.

‘Seseorang’ yang dimaksudkan itu didakwa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng melalui pendedahan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M Satees yang digugurkan daripada senarai pencalonan bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya dan bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel yang bertanding calon bebas selepas keluar daripada DAP semalam.

Terdahulu, Kon Yeow hadir pada Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, parti perlu menguruskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli dengan baik supaya proses pilihan raya berjalan lancar, apatah lagi penamaan calon hanya berbaki dua hari lagi.

“Dalam hal ini kita akan memastikan jentera pilihan raya tidak terjejas walaupun ada pihak keluar parti mahupun bertanding bebas,” katanya.

Kelmarin, DAP mengumumkan 19 calonnya untuk bertanding pada PRN dengan tujuh bekas ADUN digugurkan, termasuk lima EXCO antaranya bekas Timbalan Ketua Menteri II, Prof P Ramasamy.

Pencalonan itu bagaimanapun mendapat reaksi kurang baik daripada segelintir bekas penyandang kerusi sehingga wujud dakwaan senarai calon itu ditentukan ‘seseorang’ yang ingin kembali berkuasa mentadbir Pulau Pinang.

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427