BANGKOK- Kem Pakatan Harapan (PH) di kawasan pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai akan menerima suntikan semangat baharu tidak lama lagi, susulan persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir untuk turun berkempen bagi calonnya, Karmaine Sardini.
“Saya akan (turun berkempen)… sekurang-kurangnya sekali,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dalam persidangan media di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 bersama media Malaysia hari ini.
PRK kerusi parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock; dan seorang ahloi perniagaan, Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Ia diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung. Pada PRU14, Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).
PH dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen itu meletakkan Karmaine yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, sebagai calonnya, manakala BN meletakkan bekas penyandang, Wee.
Sementara itu, merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak mengenakan apa-apa sekatan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak susulan ketidakhadiran beliau di perbicaraan mahkamah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Khamis lepas, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan mempersoalkan keputusan hakim berkenaan.
“Dia (Najib) diberi cuti dan tidak hadir di mahkamah, tapi dia boleh berkempen di Tanjung Piai… kita tidak mempersoalkan para hakim, mereka (hakim) yang memutuskan,” katanya.
Khamis lepas, Najib tidak menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendapat cuti sakit (MC) hadir di perbicaraan ekoran matanya yang bengkak, namun beliau dilihat berada di Johor pada sebelah malamnya, dikatakan untuk menghadiri majlis penamaan calon PRK berkenaan pada hari berikutnya.- BERNAMA