PRK Kimanis dijangka Januari depan

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis dijangka diadakan pertengahan bulan depan dengan mengambil kira cuti panjang hujung tahun ini selain mengelak pertembungan cuti Tahun Baru Cina pada minggu terakhir Januari depan.

Penganalisis meramalkan perkara itu berdasarkan corak penetapan tarikh 10 PRK yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), yang mengambil kira faktor cuti umum dan perayaan di negara ini.

Ramalan itu juga mengambil kira faktor musim cuti persekolahan kerana sekolah antara lokasi untuk pembuangan undi pada PRK selain menimbangkan faktor petugas pada hari penamaan dan pengundian itu nanti.

Mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan satu PRK bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Isnin lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kimanis bermula 10 Disember lalu berikutan penerimaan Perakuan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi parlimen itu, yang disandang Datuk Seri Anifah Aman pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 lalu.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Hakim Lee Heng Cheong membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.

Isnin ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan PRK kawasan Parlimen P176 Kimanis dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun.

Mesyuarat khas itu akan membincangkan mengenai tarikh penting urusan PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian Awal, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya itu.

Dengan mengambil kira tarikh mesyuarat khas itu serta semakan tarikh cuti umum dan musim perayaan masyarakat tarikh 4 dan 5 Januari sangat sesuai untuk penamaan calon kerana tiada cuti umum pada minggu berkenaan.

Jangkaan itu juga mengambil kira tarikh sambutan Krismas pada 25 Disember, cuti Tahun Baharu pada 1 Januari dan permulaan persekolahan pada 2 Januari.

Mengikut amalan hari penamaan calon ditetapkan pada hujung minggu sama ada Sabtu atau Ahad, begitu juga pada hari pengundian.

Justeru, jika mengambil kira tempoh kempen dua minggu yang dilaksanakan di lapan daripada 10 PRK pasca PRU-14, bermakna tarikh pengundian adalah pada 18 Januari.

Berdasarkan perkiraan tempoh berkempen minimum lapan hari dengan tarikh penamaan calon pada 4 Januari, ada kemungkinan tarikh mengundi pada 11 Januari iaitu pada hari Sabtu dan jika dikira 14 hari berkempen, maka tarikh mengundi jatuh pada 18 Januari.

Ada kemungkinan juga tarikh penamaan calon diadakan pada 28 dan 29 Disember dan jika mengambil kira tempoh minimum kempen PRK lapan hari, maka PRK diadakan pada 4 (Sabtu) atau 5 Januari (Ahad) manakala jika tempoh berkempen 14 hari maka tarikh mengundi pada 18 atau 19 Januari.

Penganalisis percaya PRK Kimanis perlu diadakan sebelum sambutan Tahun Baru Cina kerana tarikh perayaan itu jatuh pada hari Sabtu (25 Januari) dan Ahad (26 Januari) yang mana cuti bergantinya pada Isnin dan Selasa. Ada kemungkinan ramai yang menyambung cuti sehingga hujung minggu 1 dan 2 Februari.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata berdasarkan pengalaman beliau, SPR mengambil kira faktor cuti umum dan perayaan bersama penilaian lain sebelum menetapkan tarikh berkaitan dengan PRK.

Katanya, faktor cuaca dan fenomena alam juga diambil kira kerana ia berkaitan dengan logistik kerana ada sesetengah negeri pada hujung tahun mengalami musim tengkujuh.

“Berdasarkan pengalaman lalu, pertimbangan dibuat dengan mengambil kira cuti hujung tahun kebanyakan petugas sudah mengambil cuti kerana musim cuti sekolah, ada yang sudah membeli tiket penerbangan untuk bercuti ke luar negara selain sibuk dengan persiapan pembukaan persekolahan.

“Kebiasaannya petugas di tempat pengundian adalah dalam kalangan kakitangan awam termasuk guru dan lokasi untuk membuang undi juga di lakukan di sekolah.

“Faktor cuaca dan musim tengkujuh juga diambil kira. Memandangkan Parlimen Kimanis ini terletak di timur Malaysia, ada kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir. SPR turut menimbangkan soal kesiapsiagaan petugas kerana tidak mahu mereka menarik diri yang menjejaskan perjalanan PRK,” katanya. -Bharian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427