KUALA TERENGGANU: Calon wanita Pakatan Harapan (PH) mengambil masa lebih 20 jam sehari untuk memperkenalkan diri kepada pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir.
Eka Lisut, 62, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) PKR, berkata sambutan diberikan kira-kira 3,500 pengundi yang ditemui amat menggalakkan.
Katanya, pengundi yang ditemui sepanjang tempoh berkempen bermula Sabtu lalu hanya mahukan perubahan dilakukan di DUN Manir.
“Kita juga tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka, terutama pengundi muda, sebaliknya akan berusaha memenuhi permintaan termasuk menyediakan kemudahan beriadah termasuk gelanggang futsal.
“Sebahagian pengundi ditemui hanya meminta kita melakukan perubahan di DUN Manir termasuk menyediakan bangunan perniagaan, selain menyediakan peruntukan untuk membaik pulih kediaman dan pembinaan rumah baharu,” katanya.
Eka yang berasal dari Kuala Berang ditemui pada program Cakne pengundi di Kampung Pulau Manis, di sini, hari ini.
Turut mengiringi Eka adalah Jawatankuasa UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Mat Zain Abdul Kadir, yang mewakili Ketua Urusetia DUN Manir, Yusof Awang Hitam.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Ika yang bertanding atas tiket PH akan menentang satu lawan satu dengan penyandang kerusi DUN Manir yang juga calon PAS, Hilmi Harun.
Pada keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Hilmi memenangi kerusi dengan memperoleh 2,844 undi majoriti.
Eka yang juga bekas penyelia pembantu perawatan kesihatan di Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu, berkata walaupun muka baharu, tetapi pengundi memberi kerjasama dan tidak menutup pintu serta mengurung diri apabila didatangi untuk memperkenankan diri sebagai calon.
“Sepanjang tempoh berkempen selama empat hari mulai Sabtu lalu, kita sudah berjaya memasuki enam kampung yang dianggap sebagai kubu PAS.
“Aktiviti berkempen bermula dengan solat Subuh berjemaah di beberapa masjid sebelum bersarapan bersama pengundi, sebelum menziarahi pengundi uzur,” katanya.
Mengulas mengenai peluang, Eka berkata, berdasarkan sambutan pengundi, kerusi DUN Manir dijangka dikuasai parti gabungan kerajaan perpaduan.
“Kita akan berusaha untuk menemui seberapa ramai pengundi dalam tempoh berkempen yang berbaki 12 hari sebelum hari mengundi pada 12 Ogos ini,” katanya.
– BH