Presiden China mahu menghijaukan kawasan gurun

Estimate Reading Time: 2 minutes

MONGOLIA DALAM, China: Presiden Xi Jinping mahu China terus meningkatkan usaha mencegah hakisan tanah dan memastikan penghijauan kawasan gurun sehingga keajaiban baharu dapat diwujudkan.

Beliau berkata usaha itu memerlukan langkah bersepadu semua pihak terbabit, di samping memantapkan pelaksanaan program Jalur Pelindung Hutan Three-North di barat laut, utara dan timur laut China.

Xi berkata demikian ketika melakukan tinjauan selama dua hari mulai Isnin di bandar Bayannur, di sini.

Katanya, usaha itu berkait rapat dengan keselamatan ekologi, pembinaan negara yang kuat serta pembangunan mampan bangsa dan ia juga disifatkan sebagai perjuangan murni berikutan sumbangannya untuk masa kini dan juga masa depan.

Xi turut menzahirkan harapan agar benteng perlindungan ekosistem berkenaan dapat diperkukuh, sekali gus beroleh pencapaian yang lebih besar dalam usaha membina China yang indah.

“Untuk itu, China akan memperhebat pertukaran dan kerjasama antarabangsa secara menyeluruh bagi melaksanakan Konvensyen Mengatasi Penggurunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), terlibat dalam penanganan penggurunan, mengintensifkan kerjasama dengan negara jiran, mendukung negara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam pencegahan hakisan tanah dan penghijauan di kawasan gurun, mendorong pelbagai negara dalam dialog dasar dan kongsi maklumat bagi menghadapi bencana ribut pasir,” katanya.

Dalam lawatannya ke wilayah autonomi China itu, Xi meninjau ke zon perlindungan alam, zon rintis pertanian moden, padang hutan dan jabatan pengairan di bandar Bayannur.

Sebagai persimpangan beberapa banyak kawasan fungsi ekologi di bahagian utara China, Tasik Wuliangsu adalah pelindung ekologi yang semulajadi yang berperanan mengawal sumber ribut pasir di sekitar bandar Beijing dan Tianjin.

Pada hari pertama di Mongolia Dalam, Xi melihat panorama alami dan persekitaran ekologi berhampiran Tasik Wuliangsu yang membolehkannya mendalami perlindungan integrasi dan penjagaan terhadap gunung, air, hutan, ladang, tasik, rumput dan pasir, serta pemulihan persekitaran ekologi.

Beliau seterusnya mengunjungi zon rintis pertanian moden di sebelah selatan Tasik Wuliangsu untuk melihat sampel tanah dan benih selain mengiktiraf usaha setempat mengubah suai dan menggunakan tanah tandus salina, alkali, pasir, mendorong pengairan saintifik dan pertanian moden.

Pada hari terakhir, Xi melawat padang hutan di daerah Linhe untuk mengetahui pembangunan program Jalur Pelindung Hutan Three-North.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk meninjau Pusat Pemantauan Maklumat Jumlah Air Hetao sebelum berlepas pulang ke Beijing.

– BERNAMA-CMG

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427