Prasarana umumkan kebolehpercayaan sistem rel bandar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) akan memaparkan laporan mengenai Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF), membabitkan perkhidmatan tren serta bas pengantara setiap bulan, bermula bulan ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata maklumat berkenaan akan dipaparkan pada setiap 20 haribulan di laman web MyRapid, membabitkan perkhidmatan Transit Aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas perantara.

Selain itu, Prasarana akan turut memaparkan maklumat terkini mengenai bilangan penumpang, faktor perjalanan dan keadaan kemudahan awam di semua stesennya pada setiap Rabu, untuk rujukan umum.

Loke berkata, MKBF ialah istilah untuk mengukur kebolehpercayaan sistem rel bandar di seluruh dunia dan laporan mengenainya akan menjadi sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi Prasarana, dalam menilai secara telus kemampuan tren untuk bergerak, tanpa mengalami sebarang kerosakan serta gangguan teknikal untuk satu tempoh tertentu.

“Pada masa ini, pencapaian Prasarana masih belum sampai tahap piawaian dunia. MKBF bagi LRT Laluan Kelana Jaya, sebagai contoh, sejauh 150,000 kilometer (km).

“Ini bermakna, berlaku gangguan atau kerosakan teknikal melebihi lima minit pada setiap 150,000 km perjalanan. Ini kurang memuaskan dan perlu ditambah baik.

“Sebagai komitmen syarikat untuk terus memperbaiki prestasi operasinya, Prasarana menetapkan sasaran MKBF satu juta kilometer perjalanan menjelang suku ketiga 2026,” katanya di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Loke berkata, bagi mencapai sasaran itu, aspek kejuruteraan, terutama dari segi penyelenggaraan tren akan diberi keutamaan, selain pertambahan sumber tenaga kerja.

Katanya, beliau sudah meminta Prasarana untuk mengkaji trend perjalanan penumpang setiap hari bagi melihat sama ada tempoh perkhidmatan boleh dipendekkan untuk memberi ruang kepada tempoh penyelenggaraan yang lebih lama.

“Ini bermakna, kita perlu tutup operasi lebih awal dan membukanya lewat sedikit. Ini kunci kepada masa penyelenggaraan dan kejuruteraan yang lebih lama.

“Kita akan berbincang lebih lanjut mengenainya bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna. Ketika ini, masa tamat operasi ialah 12 tengah malam dan kita tahu, penumpang amat kurang selepas 11 malam. Jadi, mungkin kita boleh menamatkan operasi pada jam 11 malam,” katanya.

Mengenai kemampuan untuk mencapai sasaran MKBF satu juta km berikutan terdapat sebahagian tren yang sudah berusia lebih 20 tahun, Loke menjelaskan, MKBF tidak melihat kepada setiap tren, sebaliknya dari segi perkhidmatan.

“Sebagai contoh, laluan Kelana Jaya. Mungkin terdapat 38 tren lama dan baharu tapi kita tidak lihat kepada usia tren, sebaliknya keseluruhan laluan itu.

“Sudah tentu jika tren yang berusia ini ada masalah. Jadi, kita perlu melaksanakan langkah pencegahan, iaitu tarik balik tren itu untuk penyelenggaraan. Kaedah kita lebih kepada pencegahan, bukan penyelenggaraan berjadual saja,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azharuddin berkata, Prasarana menyasarkan MKBF purata sejauh 300,000 km untuk tahun ini membabitkan jangkaan 59 kali kerosakan melebihi lima minit bagi semua laluan.

“Untuk 2024, kita sasar sejauh 470,000 km berdasarkan jumlah kerosakan yang dapat dikurangkan.

“Bagi sasaran MKBF satu juta km pula, kami menyasarkan hanya lima kerosakan teknikal atau gangguan berlaku melebihi lima minit,” jelasnya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427