PPN langkah sistematik tangani COVID-19 – Tengku Zafrul

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dirangka dan dilaksanakan kerajaan tidak hanya menjadi ‘cahaya di hujung terowong’, malah menjadi langkah dipacu data, dinamik dan inklusif untuk menangani COVID-19.

Menteri Penyelaras PPN, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pelan berkenaan juga penting bagi negara untuk keluar dari wabak dengan selamat dan sistematik termasuk langkah kritikal untuk membangunkan semula negara menjadi lebih baik.

“COVID-19 telah mengubah dan memberi cabaran kepada ekonomi dan rakyat dalam keadaan yang belum pernah terjadi.

“Ekonomi pasca COVID-19 akan menjadi antara perubahan dramatik dalam perdagangan dan perkhidmatan, selain memanfaatkan kekuatan maklumat dan teknologi.

“Norma kerja yang kita sudah berubah selama-lamanya. Kelestarian dan perubahan iklim semakin mendesak. Dan dunia telah melihat penggunaan digitalisasi dan automasi yang pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara dengan tema ‘Winning the War against COVID – The Road to Recovery’ hari ini.

mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan, berkata berdasarkan perkembangan itu, Belanjawan 2022 dirangka berkonsepkan bajet pemulihan untuk melengkapi pembaharuan lebih meluas dan bersifat jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Bertemakan pemulihan, ketahanan dan reformasi, kerajaan telah mengeluarkan Kenyataan Pra Belanjawan dan empat kertas Konsultasi Awam yang pertama dalam sejarah.

“Dari aspek ini, kerajaan akan mendapat input dalam beberapa bidang iaitu penambahbaikan dasar pemerolehan kerajaan mengenai dasar pemerolehan barang/perkhidmatan tempatan bagi Bumiputera, menambahbaik program bantuan tunai, kajian insentif cukai dan menggubal Akta tanggungjawab Fiskal (FRA),” katanya. -BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427