Postecoglou kecewa sikap penyokong Spurs

Estimate Reading Time: < 1 minute

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou mendakwa asas yang dibinanya di kelab itu ‘rapuh’ selepas penyokong mereka dilihat gembira dengan kekalahan 0-2 kepada Manchester City, yang mungkin menafikan seteru utara London, Arsenal daripada memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Peluang Spurs untuk layak ke Liga Juara-Juara musnah menerusi dua gol yang diledak Erling Haaland pada babak kedua sekali gus menyaksikan City kembali ke puncak liga, dua mata di depan Arsenal menjelang perlawanan terakhir, Ahad ini.

Postecoglou menepis pandangan sebelum perlawanan bahawa penyokong Tottenham sendiri mahu pasukan mereka kalah jika ia boleh menafikan kejuaraan pertama The Gunners dalam tempoh 20 tahun.

Namun, selepas suasana ketika perlawanan dengan nyanyian mengejek Arsenal di penghujung permainan, dia mengakui silap ‘membaca’ situasi itu.

“Saya rasa 48 jam yang lalu mendedahkan kepada saya asas kelab ini agak rapuh. Itu perkara yang saya perlu kaji semula,” kata Postecoglou.

Bekas pengurus Celtic itu turut ditanya sama ada kekecewaannya ditujukan kepada penyokong atau individu di dalam kelab.

“(Saya) tidak peduli. Di luar, di dalam, di mana-mana sahaja,” katanya. “Saya mungkin silap membaca situasi untuk memahami apa yang diperlukan bagi membentuk pasukan yang mampu menang.”

Tottenham kerap menjaringkan gol lewat pada musim ini, termasuk ketika seri 3-3 menentang City di Etihad pada awal musim.

Spurs berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata, terutamanya apabila Son Heung-min gagal meledak gol ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol City, Stefan Ortega pada minit terakhir perlawanan.
-AFP
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427