KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Sarawak United FC, Datuk Posa Majais mengambil langkah berani apabila bersedia untuk bertanding secara ‘lone ranger’ dalam pemilihan barisan kepemimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Posa yang juga Naib Presiden FAM menyatakan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden pada kongres pemilihan badan induk bola itu bagi penggal 2025-2029 yang akan berlangsung pada 15 Februari depan.
Beliau memaklumkan tidak akan berada dalam mana-mana kem pada pemilihan terbabit, namun akan berusaha tampil sebagai ‘calon bebas’ sekiranya mendapat pencalonan daripada ahli gabungan.
Katanya, langkah berani itu diambil bagi meneruskan hasratnya untuk menabur bakti terhadap kemajuan bola sepak negara seiring dengan pengurusan baharu Harimau Malaya.
“Walaupun nama saya tiada dalam dua kem yang dikatakan akan bertanding, namun saya tetap mahu tampil untuk merebut jawatan Timbalan Presiden FAM.
“Saya tiada masalah dengan mereka, cuma mahu tampil merebut jawatan itu kerana berasa saya masih boleh menabur khidmat untuk bola sepak negara.
“Terpulang kepada ahli gabungan memilih siapa yang layak untuk berada dalam pengurusan tertinggi FAM. Perkara penting adalah berkhidmat demi negara,” katanya.
Posa dijangka berdepan persaingan dengan dua Timbalan Presiden FAM ketika ini, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram yang dikhabarkan akan mempertahankan kedudukan mereka di kerusi nombor dua itu.
Malah, Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar turut dikatakan akan bertanding merebut jawatan itu.
-BeritaHarian