BANGKOK: Polis Thailand menahan seorang lelaki di wilayah Nonthaburi, Sabtu lalu kerana didakwa menjadi dalang membekalkan air mani, ovum atau sel telur dan janin beku kepada rangkaian sindiket beroperasi di Laos dan Kemboja.
Suspek yang hanya dikenali sebagai “Thirapong” berusia 33 tahun, ditahan di rumahnya di Tha Sai.
Polis mendapati suspek terbabit dalam kegiatan haram itu hampir sedekad lalu, menyelia ahli kumpulan, bertanggungjawab menghantar kira-kira 100 tiub air mani, ovum dan janin beku yang disimpan dalam tangki cecair nitrogen ke klinik reproduktif di Laos dan Kemboja.
Memetik laporan portal berita Thai PBS World, suspek mendakwa dia menerima antara 10,000 hingga 15,000 baht (kira-kira RM1,327 hingga RM1,990) bagi setiap penghantaran.
Pada 2017, pegawai kastam Thailand menahan penghantar dikenali sebagai “Nithinan”, yang bertanggungjawab membuat penghantaran ke klinik di Laos.
Dilaporkan pegawai kastam tidak segera membuat penahanan tetapi, selepas siasatan mengesahkan kewujudan sindiket ibu tumpang haram, mereka menahannya dan didapati memiliki tangki nitrogen mengandungi enam tiub air mani beku.
Berdasarkan siasatan Kastam, sindiket itu dibiayai dan dikendalikan ahli perniagaan menggunakan ovum untuk ibu tumpang Kemboja atau Laos melahirkan anak warga asing yang mengalami masalah reproduktif.
Kemboja dan Laos menjadi lokasi popular untuk perkhidmatan ibu tumpang kerana kawalan mereka yang lebih longgar berbanding Thailand, yang mana perkhidmatan serupa adalah terhad dan lebih mahal.
-BeritaHarian