Polis Sarawak gempur parti liar di rumah

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuching: Polis Sarawak menahan 42 individu kerana disyaki terbabit dalam beberapa kesalahan berkaitan dadah dalam dua operasi yang dilancarkan pada 29 Mei hingga hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, operasi itu dijalankan khusus bagi mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah di parti liar yang diadakan secara ‘private’ di kediaman bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, parti liar itu dianjurkan pihak tertentu berikutan pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa ketika ini.

“Dalam Ops Parti Liar yang dijalankan mulai 29 Mei lalu di Kuching dan Padawan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak melakukan enam serbuan dan menahan 41 individu termasuk 10 bukan warga negara.

“Mereka terdiri daripada 27 lelaki dan 14 wanita yang berusia antara 18 hingga 42 tahun,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Aidi berkata, dalam serbuan itu pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM7,000 dirampas.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu dua kes; Seksyen 39A(2) ADB 1952 (tiga kes); Seksyen 12(2) ADB 1952 (tiga kes) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (24 kes).

Aidi berkata, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh dari Ops Parti Liar itu, JSJN Sarawak melancarkan satu lagi serbuan menerusi Ops Black Cat di sebuah kediaman di Kuching, pada 9 Jun lalu.

“Serbuan itu membongkar tempat penyimpanan dan pemprosesan dadah iaitu penghasilan serbuk jus campuran ekstasi dan ketamin di kediaman terbabit.

“Seorang penganggur lelaki berusia 27 tahun ditahan dalam serbuan itu,” katanya.

Beliau berkata, turut dirampas 50 biji pil ecstasy, 354.13 gram ketamin, 320 biji eramin 5 dan 13.7 kilogram serbuk jus disyaki campuran ekstasi.

“Rampasan itu dianggarkan bernilai RM250,000 dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B ABD 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dikenakan hukuman mati, boleh dikenakan hukuman tidak kurang 15 sebatan,” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427