Kuala Lumpur: Dua lelaki tempatan disyaki pengedar dadah ditahan manakala pelbagai jenis dadah bernilai RM188,524 turut dirampas dalam serbuan di residensi dan kondominium di Jalan Klang Lama serta Desa Pandan, di sini, Selasa lalu.
Dalam serbuan jam 12 tengah hari itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menangkap dua suspek terbabit yang berusia 33 dan 25 tahun.
Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya juga merampas pelbagai jenis dadah seperti ketamin, 170 pil ekstasi, 1,200 pil Erimin 5, serbuk serta cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM188,524.
“Dadah dirampas boleh dibekalkan kepada 5,063 penagih. Wang tunai RM1,083 turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati seorang suspek positif ketamin, manakala seorang lagi negatif bahan terlarang itu.
“Kedua-dua suspek berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Adnan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lalu.
“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan,” katanya.
Dua suspek itu direman selama enam hari berakhir Isnin depan, mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan.-METRO