Polis Johor kesan rangkaian baru sindiket seludup migran asing

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Polis Johor percaya wujud rangkaian sindiket penyeludupan migran asing baru di negeri ini, berikutan masih berlaku pembolosan di pintu sempadan, terutama di kawasan Pantai Timur.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pithcay berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan dan tangkapan susulan akan dibuat setelah mengenal pasti dalang sindiket.

Katanya, setakat Apr sehingga Jul tahun ini sahaja, lebih 70 suspek yang terdiri daripada tekong darat dan laut tdiberkas dan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Setakat ini kita dapati masih ada pembolosan dan polis serta tentera juga ada lakukan tangkapan.

“Setakat April sehingga Julai kita sudah tangkap dan siasat (70 tekong darat dan laut), kesemua suspek kini dalam penjara untuk dibicarakan tetapi mungkin mereka berjaya wujudkan rangkaian baru untuk membolosi pintu masuk dan lokasi pendaratan negeri.

“Kita akan kesan rangkaian mereka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP), perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Pasar Borong Pandan.

Beliau berkata demikian kepada ditanya sekiranya terdapat cubaan sindiket PATI membolosi sempadan negeri ini.

Bagaimanapun Ayob Khan berkata, setakat ini tidak berlaku insiden tembak menembak melibatkan sindiket penyeludupan PATI mahupun kontraban di negeri in.

Menurut beliau, setakat ini hanya terdapat percubaan sindiket melanggar bot marin, terutama di sekitar pantai timur negeri itu iaitu, di Sedili dan Rengit.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan penambahbaikan dan memastikan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), dibekalkan jaket kalis peluru dalam masa terdekat.

“Polis marin dibekalkan jaket kalis peluru, cuma mungkin ada yang perlu digantikan dengan yang baru, jaket yang dibenarkan adalah ‘level’ tiga, manakala PGA pula akan dibekalkan dalam waktu terdekat,” katanya.

Sementara itu, mengenai pematuhan SOP, Ayob Khan berkata, masih terdapat individu di negeri ini yang melanggar SOP, selain mengunjungi kelab malam, walaupun peningkatan kes Covid-19 di Johor kini mencecah tiga angka.

Katanya, setakat 1 Nov sehingga 9 Dis lepas sahaja, 93 serbuan di pusat hiburan di negeri ini dilakukan, dengan melibatkan 408 tangkapan.

Ayob Khan berkata, daripada 10 daerah di negeri ini, Tangkak dikenal pasti sebagai daerah terendah pematuhan SOP.

Tambahnya, semenjak 18 Mac sehingga 7 Dis lepas, seramai 4,869 individu juga dikompaun kerana melanggar SOP. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373