Polis Besut tanggal poster ‘along’, elak orang ramai terpedaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

BESUT, 31 Mac — Sebanyak 800 poster iklan pinjaman wang tanpa lesen ‘Along’ diturunkan dalam usaha mengekang aktiviti berkenaan daripada berleluasa sekali gus mengelakkan masyarakat terjebak dengan sindiket pinjaman wang haram itu.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata Op Vulture yang dijalankan selama empat hari bermula 26 Mac lepas itu membabitkan semua kawasan di daerah Besut dengan kerjasama penguat kuasa Majlis Daerah Besut (MDB).

“Polis dapati sindiket ini (Along) mengambil kesempatan ketika pendemik COVID-19 dengan menampal banyak poster di pelbagai lokasi untuk  mendapatkan lebih ramai mangsa bagi mendapatkan pinjaman mudah.

“Usaha ini diharap dapat mengekang aktiviti haram itu terus berleluasa kerana jika tidak dibendung  ia akan memberi kesan kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita di IPD Besut hari ini.

Abdul Rozak berkata kawasan Kampung Raja mencatatkan jumlah poster paling banyak diturunkan iaitu 350 keping diikuti Kuala Besut (250 keping) dan Jertih (200 keping).

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya melaporkan kepada polis sekiranya ternampak individu yang menampal poster atau iklan pinjaman wang tanpa lesen di sekitar daerah tersebut.

Katanya, tindakan menampal poster juga adalah satu kesalahan mengikut Seksyen  29A(A) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda RM20,000, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427