PM umum RM3 juta untuk PBSM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM3 juta diperuntukkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) sebagai rangsangan dan galakan kepada persatuan itu dalam kerja sukarelawan dan bantuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM1 juta disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala RM1 juta lagi daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) khusus bagi kerja-kerja kebajikan dan lapangan di dalam atau luar negara.

“Sebanyak RM1 lagi kita setuju berikan untuk memperkukuh, menyelenggara dan pengurusan ibu pejabat dan di negeri-negeri supaya lebih mantap,” katanya ketika merasmikan ibu pejabat kebangsaan PBSM sempena ulang tahun ke-75 persatuan itu di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Tan Sri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga Pengerusi Kebangsaan PBSM.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Anwar berkata kerajaan sentiasa menghargai peranan sukarelawan di negara ini yang sanggup merisikokan diri sendiri dalam usaha menyampaikan bantuan dan kerja menyelamat sama ada di dalam dan luar negara.

Katanya, semangat yang ada dalam diri sukarelawan itu juga selaras dengan salah satu tonggak konsep Madani iaitu ihsan yang mementingkan sifat kemanusiaan sejagat tanpa mengira perkauman sempit.

“Kemanusiaan itu bererti kita ada ihsan dan kasih sayang. Nilai kemanusiaan itu apabila kita bertimbang rasa, ada kasih dan sayang, mereka akan bantu yang menghadapi masalah dan ini satu hal yang dikembangkan di PBSM.

“Selama 75 tahun penubuhannya, PBSM yang hampir umur saya ini mengumpul pelbagai pengalaman dalam menghulurkan bantuan ketika berlaku malapetaka, bencana dan perang saudara.

“Kehadiran wakil PBSM ini sehingga ada yang menyabung nyawa dan menghadapi risiko termasuk mengalami kecederaan,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri menggesa kementerian yang berkaitan mengalakkan lebih ramai anak muda terbabit dalam kerja sukarelawan dan kebajikan.

“Semangat ini perlu ditanam seawal di sekolah rendah yang mana semangat kesukarelawan ini bersifat universal atau sejagat tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan budaya,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427