RIYADH: Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di sini malam tadi bagi meneruskan program lawatan rasmi di Arab Saudi.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dari Madinah di Terminal Diraja disambut oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Raja Salman kira-kira jam 8.25 malam waktu tempatan (1.25 pagi waktu Malaysia).
Amat jarang seorang ketua kerajaan yang melawat di sini disambut sendiri oleh Putera Mahkota Arab Saudi.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang turut berada di sini, mengesahkan sambutan oleh Putera Mahkota Arab Saudi itu tidak dijadualkan lebih awal.
“Ini adalah petanda baik (bagi lawatan),” katanya.
Perdana Menteri dan isteri kemudian dibawa ke hotel penginapan di bandar raya ini di mana kawalan ketat diberikan.
Sejurus tiba di Jeddah pada Sabtu lalu, Perdana Menteri dan isteri terus mengerjakan umrah yang mana beliau diberi peluang memasuki Kaabah dan kemudian ziarah di Madinah.
Hari ini Muhyiddin akan menghadiri beberapa program rasmi yang didahului dengan sambutan rasmi dan kemuncaknya ialah pertemuan secara maya dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud di Istana Al Yamamah di sini.
Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Putera Mahkota Arab Saudi itu.
Lawatan Perdana Menteri kali pertama ke Arab Saudi sejak menjawat jawatan pada Mac tahun lalu adalah atas jemputan Raja Salman.
Perbincangan antara kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh mengenai kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, tenaga dan hal ehwal umat Islam termasuk berkaitan kuota haji dan umrah.
Selepas lawatan rasmi di sini, Perdana Menteri akan melawat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) petang ini sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada 11 Mac.
Perdana Menteri dijangka bertemu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan Perdana Menteri UAE yang juga Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum. -BERITA HARIAN.