PM mahu KWSP tingkat pelaburan tempatan kepada 70 peratus

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim menugaskan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meningkatkan pelaburan tempatan kepada 70 peratus tahun ini daripada 64 peratus pada 2022.

Perdana Menteri juga mahu KWSP melihat kembali hala tujunya supaya pelaburan yang dibuat seiring aspirasi kerajaan hari ini yang memberi fokus antaranya kepada pembabitan sektor belia, pertanian sebagai pemangkin keselamatan makanan negara dan syarikat pemula.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hal itu perlu diberi pertimbangan sesuai dengan pendekatan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran negara dalam bidang pertanian.

“Kita (Malaysia) bila naik kadar produktiviti, tapi kadar upah itu masih di tangga yang jauh lebih rendah. Jadi kesenjangan akan terus melebar. Inilah cabaran-cabaran yang kita harus dapat tangani.

“Keupayaan kerajaan, kalau kita dapat terus cari pelaburan baharu, dan dapat hasil lebih baik, maka kita dapat kembalikan pulangan kepada rakyat,” katanya dalam ucaptama semasa merasmikan Menara KWSP, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak akan campur tangan dalam urusan pelaburan KWSP.

“Panel pelaburan KWSP harus kekal bebas dan profesional yang mengambil keputusan berdasarkan kepentingan KWSP dan pencarum.

“Jadi pendekatan panel pelaburan diubahsuai dan bukan Menteri mengarahkan supaya melabur dalam mana-mana syarikat pilihan.

“Ini penting kerana selari dengan Madani, yang mana tatakelola dan amanah menjadi tonggak kepada dasar kita,’ katanya.

Terdahulu, Ahmad Badri berkata, pemindahan ibu pejabat tabung simpanan persaraan itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan perbandaran baharu di Kwasa Damansara yang dilaksanakan anak syarikat KWSP, Kwasa Land Sdn Bhd.

Proses pemindahan ibu pejabat KWSP itu bermula sejak Jun tahun lalu membabitkan lebih 2,200 kakitangan yang selesai berpindah ke Menara KWSP yang dibina atas plot seluas 2.1 hektar.

“Perpindahan ibu pejabat KWSP dari Bangunan KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur ke Menara KWSP Kwasa Damansara telah dilaksanakan secara berperingkat bermula pada Jun 2022. Lebih 2,200 anggota terbabit dalam perpindahan ini.

“Sejujurnya, bukan mudah untuk memindahkan jumlah anggota yang ramai, namun berkat usaha Jawatankuasa Kerja Perpindahan yang ditubuhkan telah memudahkan segala proses perpindahan anggota dan aset.

“Alhamdulillah, KWSP berjaya beroperasi sepenuhnya di Menara KWSP mengikut perancangan dan rata-rata anggota KWSP dilihat dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu dengan baik sekali,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Menara KWSP Kwasa Damansara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mula beroperasi sejak Jun tahun lalu, Menara KWSP yang menjadi antara mercu tanda utama Kwasa Damansara itu turut menempatkan KWSP Cawangan Kwasa Damansara dan dilengkapi surau, gim, klinik, dan lebih 1,000 tempat letak kereta.

Menara KWSP itu turut mendapat status Indeks Bangunan Hijau bertaraf Platinum, yang mengiktiraf komitmen KWSP terhadap nilai konsep hijau dan amalan lestari merangkumi kecekapan tenaga dan air, kualiti persekitaran dalaman, serta pengurusan tapak lestari, bahan dan sumber.

Menara itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan perbandaran Kwasa Damansara seluas 1,060 hektar, yang turut merangkumi pembinaan 5,000 rumah mampu milik pertama di kawasan itu, yang dijangka siap pada 2026. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427