PM Anwar ulangi gesaan penubuhan Dana Monetari Asia

Estimate Reading Time: 2 minutes

LABUAN BAJO, Indonesia: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi gesaan penubuhan Dana Monetari Asia sejajar dengan inisiatif ASEAN untuk mengukuhkan kebergantungan ekonomi dan jaringan keselamatan di rantau ini.

Beliau berkata dana yang dicadangkan itu boleh menjadi mekanisme serantau yang dapat memahami dengan lebih baik lagi realiti dan keperluan negara anggota ASEAN serta mencadangkan langkah-langkah pemulihan yang lebih sesuai.

Menerusi ucapan beliau pada sesi pembukaan dan pleno Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 2023, di sini, Anwar menyambut baik deklarasi para pemimpin untuk menggerakkan kesalinghubungan pembayaran serantau dan menggalakkan urus niaga mata wang tempatan.

Inisiatif itu, katanya, akan dapat meningkatkan penggunaan mata wang tempatan untuk menyokong pelaburan dan perdagangan rentas sempadan di ASEAN.

Mengenai Visi Pasca Komuniti ASEAN 2025, Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu dapat mempamerkan keyakinan dan kesediaan yang lebih tinggi untuk merebut peluang bagi membawa perubahan positif kepada rakyat dan rantau ini.

Rantau ini akan menerima pakai Visi Pasca Komuniti ASEAN 2025 dalam masa dua tahun lagi untuk melakarkan laluan strategik ASEAN bagi tempoh dua dekad akan datang.

“Visi ASEAN pasca 2025 seperti yang dibincangkan oleh kumpulan tokoh-tokoh terkemuka pada peringkat awal perbincangan perlu mengutamakan keperluan dan kesejahteraan rakyat kita dalam agenda penyepaduan serantau,” katanya.

Anwar berkata, visi itu juga perlu memberikan penekanan kepada keterangkuman, kemampanan, transformasi dan responsif serta menambah baik kapasiti dan keberkesanan institusi ASEAN.

Selain itu, katanya, ia juga perlu mengukuhkan geopolitik dan geoekonomi ASEAN dan membentuk ketertiban antarabangsa yang adil dan beretika.

“Saya fikir visi itu nampaknya sangat konsisten dalam apa yang kita panggil di Malaysia sebagai Malaysia Madani,” katanya.

Perdana Menteri dan pemimpin ASEAN lain menghadiri sidang kemuncak itu untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama kepada perkumpulan serantau tersebut.

Sebanyak lapan ketua kerajaan daripada 10 negara anggota ASEAN menyertai sidang kemuncak itu kecuali Myanmar yang tidak dijemput dan Thailand yang menghadapi pilihan raya pada 14 Mei ini.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Horn dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak. – BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427