PLUS aktifkan laluan ‘Smartlane’ bantu lancarkan aliran trafik selepas cuti raya

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan ‘SmartLane’, iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan di laluan-laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya bagi melancarkan aliran trafik berikutan berakhirnya cuti persekolahan dan cuti Hari Pekerja antara 29 April dan 1 Mei ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata SmartLane diaktifkan di dua laluan di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban antara KM260.0 hingga KM263.1 (Arah Utara) dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai antara KM19.0 hingga KM27.0 (Arah Utara) sepanjang cuti perayaan ini.

Beliau berkata, pelaksanaan SmartLane di dua laluan di wilayah selatan itu menerima maklum balas yang positif dan disambut baik oleh pengguna lebuh raya kerana inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesesakan.

“Ketika laluan ‘SmartLane’ ini diaktifkan, pengguna lebuh raya dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah untuk menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarahkan untuk masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

“Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali menggunakan bahu jalan/laluan kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan ‘SmartLane’ diaktifkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Zakaria berkata PLUS juga mengenal pasti lokasi lain bagi pengaktifan laluan SmartLane ini iaitu laluan Gua Tempurung – Gopeng antara KM306.7 hingga KM297.0 (Arah Utara), Slim River – Sungkai antara KM367.3 hingga KM354.1 (Arah Utara) dan Rawang – Sungai Buaya antara KM439.9 – KM435.5 (Arah Utara).

Bagaimanapun, pengaktifan laluan SmartLane di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran daripada pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum ia dilaksanakan.

“Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan ‘SmartLane’ melalui papan tanda laluan ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook dan Twitter PLUSTrafik,” katanya.

SmartLane dilaksanakan PLUS dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427