PKS tempatan jana jualan RM1 bilion di Shopee

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) tempatan menjana jualan hampir RM1 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di platform e-dagang Shopee.

Ia menerusi kerjasama strategik antara Shopee dengan pelbagai kementerian, agensi kerajaan, persatuan dan kerajaan negeri berdasarkan matlamat untuk membantu pemulihan komuniti perniagaan, terutama PKS dan peniaga kecil tempatan yang terjejas akibat COVID-19.

Selain menghulurkan bantuan khas memulakan perjalanan digitalisasi, penjual baharu menikmati kempen tambahan dan faedah dalam bentuk diskaun serta baucar pulangan tunai selain kredit pengiklanan untuk merangsang jualan.

Antara kerjasama yang terdapat dalam portal adalah aplikasi Buy Malaysia yang mengibarkan Jalur Gemilang di laman utama Shopee termasuk Kempen Beli Barangan Malaysia dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kempen e-dagang Perusahaan Mikro dan PKS PENJANA.

Ia juga merangkumi Inisiatif Shop Malaysia Online PENJANA melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Jana Niaga dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), eFAMAPLACE dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), FELDA E-Mall dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan banyak lagi.

Sementara itu, beberapa kerajaan negeri turut memantapkan usaha dengan kempen seperti Johor e-Marketplace, Penang e-Mall, Selangor e-Bazar Raya dan S.M.A.R.T Niaga @ Perak bagi membantu peniaga tempatan di negeri masing-masing.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, hasil sinergi yang bermanfaat itu menunjukkan kerjasama antara sektor awam dengan entiti swasta boleh membawa kesan dan impak yang ketara kepada ekonomi digital Malaysia.

“Dengan menggabungkan maklumat yang relevan dan dana untuk penjual dari rakan kongsi, disertakan dengan rangkaian perkhidmatan dan ciri bersepadu seperti logistik, pembayaran, aliran Shopee Live dan kursus percuma Shopee University, kami dapat membantu PKS tempatan menjana pendapatan alternatif demi menyokong kehidupan mereka.

“Namun, usaha ini harus diteruskan untuk membawa impak yang lebih hebat,” katanya dalam satu kenyataan.

Ho berkata, walaupun COVID-19 mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital, sumbangan transaksi atas talian di Malaysia dianggarkan berjumlah hanya tujuh peratus daripada jumlah jualan runcit negara tahun lalu.

“Jumlah ini dianggap kecil apabila dibandingkan dengan peratus anggaran antarabangsa iaitu 16 peratus, manakala negara seperti China hampir mencecah 40 peratus.

“Kami perhatikan digitalisasi bagi sektor runcit masih berada di tahap awal tetapi kami bertekad dalam merealisasikan potensi ekonomi Malaysia dengan infrastruktur yang kukuh dan persekitaran perniagaan yang kondusif,” katanya.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427