PUTRAJAYA: Bayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 sebanyak RM500 juta dibayar kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) mikro secara berperingkat mulai hari ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sejumlah RM1 bilion atau RM1,000 bagi setiap PKS mikro daripada geran berkenaan sudah dikreditkan ke akaun penerima pada pertengahan Jun lalu.
“Seterusnya, jumlah tambahan RM500 yang diumumkan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) dibayar mulai 12 Julai secara berperingkat.
“Pembayaran membabitkan implikasi kewangan hampir RM500 juta ini akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP.
“Seterusnya, bawah Pakej PEMULIH yang diumumkan pada 28 Jun lalu, bayaran tambahan GKP 4.0 akan disalurkan kepada penerima GKP sedia ada dan penerima baharu pada September dan November ini.
“Mereka masing-masing akan menerima sebanyak RM500,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bagi PKS mikro yang tidak pernah menerima GKP, tempoh pendaftaran GKP 4.0 akan dibuka mulai 15 hingga 31 Julai ini.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan sebelum ini memberi komitmen untuk menyokong perniagaan secara berterusan, terutama PKS mikro dalam membantu aliran tunai sepanjang tempoh mencabar ini.
Sehubungan itu, katanya, antara langkah diambil tahun ini adalah GKP 3.0 sebanyak RM1.5 bilion atau RM1,500 kepada setiap PKS mikro yang layak.
“Keseluruhannya, jumlah peruntukan yang sudah dan akan disalurkan kepada hampir satu juta PKS mikro bawah GKP sejak COVID-19 melanda negara adalah RM6.08 bilion.
“Kerajaan berharap bantuan langsung berterusan yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutama perniagaan yang belum dibenarkan beroperasi pada ketika ini.
“Selain GKP, banyak lagi inisiatif boleh dimanfaatkan oleh PKS mikro sepenuhnya sebagai persediaan untuk perancangan jangka panjang ke arah pemulihan perniagaan masing-masing.
“Ini termasuk dana pinjaman mudah PKS mikro berjumlah RM2.9 bilion melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, MARA, SME Corp, YAPEIM dan TEKUN,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan peruntukan berjumlah RM8.6 bilion untuk dana pinjaman mudah bagi PKS dan PKS mikro.
Katanya, ia termasuk dana tambahan RM2 bilion melalui Pakej PEMERKASA+ dan RM2 bilion menerusi Pakej PEMULIH.
Beliau berkata, pihak terbabit boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai dana itu dan bantuan lain kerajaan di https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/.