PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan Geran Khas Prihatin (GKP) termasuk di bawah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang akan disalurkan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro adalah berjumlah RM3.35 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di hampir seluruh negara kecuali Sarawak, GKP PERMAI akan menerima suntikan tambahan RM150 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM800 juta.
“Bagi PKS mikro yang sudah pun menerima GKP sebelum ini, mereka tidak perlu mendaftar semula dan bantuan RM1,000 akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka. Soalan-solan lazim mengenai GKP PERMAI ini boleh didapati di pautan LHDN di https://gkp.hasil.gov.my/.
“Untuk makluman semua, kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM2.55 bilion kepada PKS mikro melalui program GKP dan GKP 2.0.
“Dengan GKP PERMAI, jumlah keseluruhan yang sudah atau akan disalurkan kepada rakyat adalah berjumlah RM3.35 bilion, hanya untuk langkah GKP sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-38 secara maya, hari ini.
GKP PERMAI atau GKP Tambahan adalah bantuan kewangan tambahan secara sekali saja atau ‘one-off’ yang disediakan oleh kerajaan kepada PKS mikro yang menerima bantuan GKP 1.0 dan GKP 2.0 sebelum ini.
Seperti yang diumumkan dalam PERMAI, kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan kepada 800,000 peniaga PKS sehingga RM1,000.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan GKP PERMAI awal bulan ini berkata, ia membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM650 juta.
-BH