PKRC MAEPS akan dibuka semula dengan kapasiti lebih kecil

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan dibuka semula dalam masa terdekat, namun dengan kapasiti lebih kecil selepas ditutup secara rasmi pada 8 Februari lalu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata PKRC MAEPS berkemungkinan hanya boleh memuatkan kira-kira 850 pesakit COVID-19 berbanding sebelum ini yang boleh mencecah 5,000 pesakit pada satu masa.

“Kerajaan bercadang menyusun semula strategi di PKRC MAEPS, lokasinya pun berubah dari blok asal yang kita gunakan sebelum ini.

“Secara ringkasnya PKRC itu masih terletak di MAEPS namun saiz kawasan, bangunan, fungsi dan pasukan penugasannya berbeza. Jumlah pesakitnya pun lebih kecil dan mudah diuruskan iaitu kira-kira 850 pesakit.

“Kita jangka (PKRC ini) akan sedia dalam masa terdekat,” katanya kepada BH, hari ini.

Sepanjang 14 bulan beroperasi, seramai 166,072 pesakit COVID-19 dirawat di PKRC MAEPS 2.0, sekali gus meringankan beban hospital di Semenanjung.

Aminuddin berkata PKRC itu dalam perancangan untuk digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 di peringkat negeri, berikutan itu saiz bangunan yang akan digunakan tidak sebesar MAEPS 2.0.

Dalam pada itu, Aminuudin berkata, NADMA tetap bersedia untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani kenaikan kes di 43 PKRC di setiap negeri.

Sebelum ini, tular di Facebook mengenai status dimuat naik Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengenai pasukannya yang sedang menyusun semula kemudahan di Pusat Kuarantin di Dewan A.

Semalam, Malaysia merekodkan 31,199 kes baharu COVID-19 sekali gus ia menjadi angka tertinggi pernah dilaporkan di negara ini sejak pandemik melanda.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427