PKPB: Kedai makan bimbang rugi besar akibat arahan kerja dari rumah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Pengusaha kedai makan berdepan kesan daripada arahan baru untuk kebanyakan pekerja sektor swasta dan awam bekerja dari rumah di negeri dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Ho Su Mong menyifatkan arahan baru Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu sebagai “langkah serius” yang akan menyaksikan penurunan drastik jumlah pelanggan, khasnya pada waktu makan tengah hari.

“Kita hanya akan ada sedikit atau tiada pelanggan langsung. Sekarang juga sukar menganggarkan berapa banyak makanan dan minuman perlu disediakan,” katanya sambil menambah restoran akan menanggung kerugian kerana menyediakan kuantiti lebih banyak daripada permintaan sebenar.

“Kita tak mampu ambil risiko sedemikian selepas menanggung banyak kerugian ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya merujuk kawalan pergerakan yang dilaksanakan antara Mac dan Mei lalu.

Mengulas kesan berterusan PKPB yang dikenakan di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah, beliau berkata, restoran tidak menjangkakan penurunan drastik pelanggan.

“Kita jangka sesetengah pelanggan masih akan menyokong restoran ahli kami, tetapi sejak satu atau 2 hari ini, mereka mengalami banyak kerugian kerana tiada orang datang langsung.

“Setakat ini, saya rasa kira-kira 20% hingga 30% ahli kami memutuskan tidak membuka restoran mereka.”

Katanya, banyak restoran juga mengalami kekurangan pekerja, dengan pemilik kini terpaksa melakukan kerja sendiri.

Beliau turut mengadu beban kewangan yang perlu ditanggung majikan, walaupun hanya sedikit atau tiada perniagaan langsung.

“Kita masih perlu menyumbang 13% daripada gaji pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini cukup membebankan pengusaha. Kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan, dari sudut ini, Perkeso dan KWSP boleh dipotong separuh bagi membantu perniagaan kecil ini diteruskan.” -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427