KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Semula atau ‘recall election’ adalah cadangan terbaik pada masa ini bagi menyekat tindakan lompat parti tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, Pilihan Raya Semula itu juga adalah cara dan langkah yang paling berkesan untuk bantu negara dari terus terjerumus ke dalam episod kemelut perebutan kuasa yang berterusan dan menggugat kestabilan politik.
Katanya, pelaksanaan Pilihan Raya Semula ini boleh dilaksanakan dengan penggubalan akta baharu berkaitan pilihan raya atau dengan hanya meminda Akta Pilihan Raya 1958 atau Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Pada masa ini, memang tiada klausa khusus mengenai pilihan raya semula ini dalam akta sedia ada. Justeru, hanya dibuat pindaan untuk memasukkan perkara itu supaya dapat menghalang mana-mana wakil rakyat melompat parti,” katanya kepada BH.
Beliau mengulas cadangan bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman yang menggesa kerajaan mempertimbangkan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau recall election bagi menghalang mereka yang lompat parti.
Semalam, Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, recall election adalah mekanisme yang membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya seseorang itu melompat parti.
Wan Ahmad menjelaskan, di negara barat terutama beberapa negara di Eropah Barat, Pilihan Raya Semula ini dilaksanakan berdasarkan dua situasi iaitu pertama diadakan kerana prestasi teruk wakil rakyat dan keduanya timbul apabila mana-mana wakil rakyat bertukar parti.
Katanya, Pilihan Raya Semula di barat biasanya diadakan kerana prestasi wakil rakyat yang dinilai selepas separuh penggal berkhidmat, melalui desakan umum daripada kempen mengumpul tandatangan.
“Di Malaysia, saya cadangkan dilaksanakan Pilihan Raya Semula ini melalui penggubalan akta baru atau pindaan akta sedia ada untuk menghalang wakil rakyat melompat parti bukan menyekat, kerana Perkara 10 memberikan kebebasan untuk berpersatuan.
“Bermakna apabila wakil rakyat itu umum bertukar parti tidak kira dalam satu gabungan yang sama atau tidak, secara automatik kerusi kawasan itu dikosongkan sama seperti situasi jika wakil rakyat meninggal dunia.
“Ini dilaksanakan supaya kita bertindak adil kepada pengundi yang mana mereka memilih wakil rakyat atau simbol parti bukan individu berkenaan.
“Saya setuju sangat jika Pilihan Raya Semula ini diadakan, malah pernah menyuarakan pandangan ini ketika ramai memperkatakan mengenai Akta Lompat Parti,” katanya.
Menjelaskan, katanya Akta Lompat Parti sukar dilaksanakan kerana ia memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan berikutan Perkara 10 menyatakan mengenai kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
“Untuk meminda Perlembagaan Persekutuan menjadi masalah ketika ini, kerana kerajaan tiada majoriti dua pertiga di Parlimen,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya di negara ini tindakan wakil rakyat melompat parti jelas tidak berlaku adil kepada rakyat dan mencemarkan demokrasi.
“Ada banyak sebab mengapa mereka lompat parti ini, termasuk diugut, masalah peribadi, mengelak kes mahkamah dan mengejar jawatan dan pangkat. Namun, ia boleh dihalang jika diperkenalkan undang-undang yang menghalangnya bukan menyekatnya,” katanya.
Beliau berkata, tindakan melompat parti tidak akan berlaku jika peruntukan mengenai Pilihan Raya Semula digubal kerana ia akan memberi kesan kepada kawasan dan parti bukan hanya individu.
-BH