KUALA LUMPUR: Leong Jun Hao sedia menjadi wira pasukan sekiranya aksi suku akhir Piala Thomas bertemu musuh tradisi, Indonesia di Aarhus, Denmark, malam ini terpaksa ditentukan menerusi acara perseorangan ketiga.
Semalam, pemain berusia 22 tahun itu mencipta kejutan apabila berjaya mencuri satu mata buat skuad negara apabila menumbangkan pemain ranking ke-16 dunia, Kenta Nishimoto 21-19, 21-18 ketika Malaysia tewas 1-4 di tangan Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan D.
Jun Hao yang menghuni ranking ke-120 dunia berkata, dia pastinya akan melakukan yang terbaik sekiranya khidmatnya diperlukan andai aksi berdepan Indonesia terikat 2-2.
Jika diturunkan, malam ini dia dijangka berdepan Shesar Hiren Rhustavito untuk pertembungan membabitkan perseorangan ketiga.
“Jika perlawanan berada dalam keadaan kritikal dan terikat 2-2, saya akan melakukan yang terbaik dan fokus untuk menyumbang mata kemenangan buat pasukan,” katanya kepada BH Sukan.-BH