PASIR MAS: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) merampas 1,000 kilogram daging beku dan sebuah lori bernilai RM75,000 di Kampung Pohon Tanjung, di sini, semalam.
Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi, berkata rampasan itu dilakukan ketika sepasukan anggota membuat rondaan di Jalan Repek, di sini, jam 4.45 petang, sebelum menemui sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihaknya, pemandu lori terbabit memberhentikan kenderaan dan melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan lanjut anggota menemui 50 kotak berisi daging beku dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Thailand.
“Pasukan kami merampas kesemua barang kes dan dibawa ke Balai Polis Bakong, di sini, sebelum barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Kesalahan ini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azhari berkata, sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam perkembangan lain, PGA7 juga menahan sembilan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Kedap, Rantau Panjang, semalam.
“Pada jam 4 petang, anggota kami membuat risikan ke atas sekumpulan lelaki dan wanita yang sedang menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke Malaysia yang kemudian menuju ke kawasan semak untuk bersembunyi.
“Hasil pemeriksaan kami mendapati tujuh lelaki dan dua wanita terbabit warganegara Myanmar tiada sebarang dokumen yang sah untuk memasuki Malaysia.
“Siasatan awal mendapati kesemua PATI ini menuju ke Damansara, Kuala Lumpur, dengan dibantu seorang ejen yang akan menghantar mereka ke stesen bas Kota Bharu sebaik memastikan tiada pergerakan pihak berkuasa,” katanya
Azhari berkata, salah seorang PATI itu didapati fasih berbahasa Melayu kerana sudah beberapa tahun bekerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur dan mengaku menjadi petunjuk arah kepada pendatang baharu.
“Semua PATI ini dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut kerana memasuki negara melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 5(3) dan 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.-Bharian