KUALA LUMPUR: PETRONAS LNG Ltd (PLL), anak syarikat PETRONAS, memperoleh perjanjian 10 tahun untuk membekal gas asli cecair (LNG) kepada CNOOC Gas and Power Trading & Marketing Limited, sebuah anak syarikat China National Offshore Oil Corporation (CNOOC).
Perjanjian jangka panjang itu juga termasuk bekalan daripada LNG Canada apabila kemudahan berkenaan memulakan operasinya menjelang pertengahan dekad ini.
Urus niaga itu adalah bagi 2.2 juta tan setahun (MTPA) untuk tempoh 10 tahun, dengan gabungan indeks Brent and Alberta Energy Company (AECO).
Perjanjian urus niaga antara PETRONAS dan CNOOC untuk tempoh 10 tahun itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM29 bilion).
Naib Presiden Pemasaran & Perniagaan LNG PETRONAS, Shamsairi M. Ibrahim, berkata syarikat minyak dan gas nasional itu berbangga dapat mengukuhkan hubungan panjang sedekad bersama CNOOC menerusi perjanjian bekalan LNG itu.
“Paling penting, ia mencerminkan penerimaan dan pengiktirafan LNG indeks AECO dalam pasaran LNG terbesar dunia.
“Ia pada ketika kami melihat untuk mengembangkan penggunaan LNG sebagai bentuk tenaga lebih bersih dan kos efektif,” katanya dalam satu kenyataan.
Indeks AECO, yang ditempatkan di platform bursa komoditi ICE NGX, adalah salah satu pasaran tenaga niaga hadapan dan spot paling cair di Amerika Utara.
Ia adalah penentu harga utama bagi gas asli di Kanada, sama seperti Henry Hub di Amerika Syarikat (AS), yang menjadi penanda aras harga gas asli digunakan sebagai indeks harga LNG.
PETRONAS memperkenalkan indeks AECO kepada pelanggannya Mei lalu susulan penjualan spot kargo dari Bintulu kepada pembeli di Asia Timur.-BH