SHAH ALAM: Sebuah pesawat ringan terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan kawasan perumahan Seksyen U16, di Bandar Elmina, dekat sini, petang ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memberitahu BERNAMA, ketika ini pihaknya sedang bergerak ke lokasi kejadian.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial yang memperlihatkan gambar dan video asap hitam di kawasan kejadian.
Setakat ini difahamkan tiga individu terkorban dalam insiden berkenaan membabitkan juruterbang, pembantu juruterbang dan seorang penunggang motosikal yang dipercayai dirempuh pesawat berkenaan ketika ia terhempas di lebuh raya.
Pesawat ringan dipercayai model Fouga CM-170 Magister dikatakan dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang.
Sementara itu, wartawan Harian Metro – Muhaamad Hafis Nawawi dan Nurul Hidayah Bahaudin menemuramah seorang saksi yang menceritakan nahas itu.
“Saya yang ketika dalam perjalanan ke Paya Jaras menyedari sebuah pesawat dalam keadaan senget namun tidak lama kemudian terdengar bunyi dentuman kuat,” kata saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Syahmi, 31.
Katanya, ketika itu dia sedang memandu kereta untuk menghantar barang dan pada mulanya menyangka kilang terbakar selepas terdengar bunyi dentuman.
“Saya kemudian terus ke lokasi dan lihat pesawat itu sudah berkecai.
“Malah saya juga melihat seseorang dalam keadaan terbakar rentung. Saya tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, dia ada bertanya dengan orang yang lebih dekat dengan kawasan itu yang memberitahu pesawat itu terjunam dan berlanggar dengan motosikal.
– Berita Harian