Peruntukan RM551.56 juta untuk 1.6 juta penduduk Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM551.56 juta bantuan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang memberikan manfaat kepada 1,643,640 penerima di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan membabitkan kira-kira 25 program bantuan dengan tiga strategi.

“Kita ada kira-kira 25 program bantuan yang dilaksanakan, merangkumi tiga strategi iaitu pertama, strategi kelangsungan hidup manakala strategi kedua, kemampanan dan kemampuan peniaga serta industri bertahan.

“Strategi kedua adalah pengawalan pandemik sebagaimana yang sudah saya umumkan dan ia tertakluk di bawah Pakej Kita Selangor 2.0,” katanya dalam pengumuman khas menerusi fblive hari ini.

Beliau berkata, pakej diumumkan bertujuan meringankan beban rakyat dan memastikan ekonomi serta pembangunan negeri terus meluncur laju walaupun dihimpit pandemik dan sekatan pergerakan penuh terbaharu.

“Bagi tujuan menjaga kebajikan rakyat, kerajaan negeri akan memberikan moratorium kepada 40,000 usahawan HIJRAH, 1,300 pelajar graduan tahun 2021, 286 pelajar tajaan Yayasan Selangor, 2,632 penyewa Rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa.

“Kerajaan juga melancarkan program Data Internet Selangor yang mensasarkan subsidi kad SIM dengan kemudahan data internet tanpa had kepada 70,000 penerima yang terdiri daripada penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi gig,” katanya.

Beliau berkata, bagi menyemarakkan ekonomi negeri, RM200 juta akan ditambah ke dalam Selangor Advance yang akan memanfaatkan aliran tunai syarikat industri kecil dan sederhana bagi menampung perbelanjaan termasuk menyelamatkan pekerjaan kepada pekerja demi mengekalkan kelangsungan operasi syarikat masing-masing.

“Tambahan kepada itu, RM80 juta diperuntukkan kepada 8,000 usahawan dengan modal awalan untuk memulakan perniagaan.

“Usaha ini dikhususkan kepada mereka yang hilang pekerjaan dan kekurangan pendaftaran akibat pelaksanaan sekatan pergerakan penuh,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19, kerajaan negeri akan terus proaktif dengan melaksanakan Ujian Saringan Covid-19 Komuniti Fasa Ketiga dengan sasaran 100,000 saringan di seluruh negeri Selangor secara percuma.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan inisiatif ‘Home Assessment Kit’ ataupun kit penilaian rumah bagi mereka yang dikesan positif melalui ujian saringan yang dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga menyediakan pemberian rebat sebanyak RM20 kepada hampir 50,000 individu dengan peruntukan RM1 juta.

“Kerajaan Negeri akan kembali ke Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk bersama-sama membincangkan pelan dan melaraskan data-data penerima vaksin agar ia selari dan sejajar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427