SEPANG: Kementerian Pengangkutan yakin perubahan drastik dapat dilihat pada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus memperbaiki kedudukan lapangan terbang terbaik dikeluarkan Skytrax.
Menterinya, Anthony Loke, berkata visi KLIA yang dibuka 25 tahun dahulu adalah menjadi hab pengangkutan udara terbaik di dunia, namun kini semakin ketinggalan kepada pesaing serantau, termasuk Lapangan Terbang Changi di Singapura.
“Lapangan terbang di rantau ini semua berusaha menaik taraf, KLIA juga mesti buat pembaikan dan tingkat imej serta prestasi. Beberapa projek sedang berjalan, termasuk tambah baik aerotrain, meningkatkan sistem pengendalian bagasi, ekosistem, kemudahan hotel dan peruncitan.
“KLIA juga perlu mesra pelabur dan saya harap dalam tempoh tiga tahun ini, kita dapat lihat perubahan drastik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penginapan transit kapsul, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia ada potensi besar menjadi hab kargo udara di rantau ini, berdasarkan keluasan tempat dan tanah serta beberapa projek e-dagang yang sudah dibangunkan di kawasan KLIA.
“Apa yang perlu kita laksanakan tanpa henti ialah kena tambah baik perkhidmatan, tahap servis dan kompetensi.
“Saya rasa tiada apa yang mustahil untuk bersaing dengan Changi, memang Changi ada kelebihannya tetapi kita jangan bersifat mengalah bahawa kita tak boleh bersaing dengan negara luar.
“Di Rantau Asia ini, memang ada banyak lapangan terbang sebagai penanda aras, di Bangkok, Thailand dan Hong Kong. Memang hasrat dan visi semasa KLIA dibuka, kita memang nak jadi hab pengangkutan udara, bukan jadi ‘feeder’ kepada Changi atau lapangan terbang lain,” katanya.
Beliau berkata, tekanan berterusan akan diberikan kepada pengurusan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) untuk terus berusaha menandingi kedudukan lapangan terbang lain.
“Saya akan terus memberikan tekanan kepada pengurusan MAHB. Kalau cakap kita jauh berbeza dengan Changi, apa yang kita tiada? Ramuan itu semua ada tapi Changi itu memang satu persaingan yang perlu kita ambil sebagai satu cabaran,” katanya.
Loke turut menegaskan, pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang tidak akan menggantikan KLIA sebagai lapangan terbang utama negara.
Dalam Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax 2023, Lapangan Terbang Changi di Singapura dinobatkan sebagai lapangan terbang terbaik dunia, diikuti Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha di tempat kedua dan Lapangan Terbang Haneda, Tokyo di tempat ketiga.
KLIA jatuh lima anak tangga dalam senarai 100 Lapangan Terbang Terbaik Dunia, yang dikeluarkan Skytrax bagi 2023.
Pintu masuk antarabangsa utama negara yang terletak di Sepang, Selangor itu kini menduduki ranking ke-67 berbanding tempat ke-62 pada tahun sebelumnya.
Rekod terbaik dipegang KLIA adalah kedudukan kedua lapangan terbang terbaik dunia pada 2001, sebelum jatuh ke kedudukan ke-14 pada 2013 dan tangga ke-44 pada 2018.
– BH